Indeks Jenayah 2025: Kuala Lumpur bandar ketiga tidak selamat di Asia Tenggara

SHAH ALAM - Tiga bandar Malaysia tersenarai dalam kedudukan 10 teratas dalam Indeks Jenayah 2025 seluruh Asia Tenggara dengan Bandaraya Kuala Lumpur berada di tempat ketiga.
Menurut Numbeo’s Crime Index 2025, Kuala Lumpur memiliki indeks jenayah sebanyak 60.4, menjadikannya antara yang tertinggi di Asia Tenggara dan kelima di benua Asia.
Hanya dua bandar Asia Tenggara yang berada di hadapan Kuala Lumpur dari segi tahap jenayah iaitu Manila dan Quezon City di Filipina.
Selain Kuala Lumpur, terdapat dua lagi bandar di Malaysia turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas Indeks Jenayah 2025 seluruh Asia Tenggara.

Bandar tersebut adalah Klang di kedudukan keempat dengan merekodkan indeks jenayah sebanyak 54.8 manakala Johor Bahru mencatatkan indeks jenayah sebanyak 48.7 di kedudukan kesembilan.
Pulau Pinang pula berada di tangga ke-15 dengan indeks jenayah 29.7.
Kajian tersebut berdasarkan data yang dikumpulkan daripada tinjauan yang dijalankan di laman web Numbeo dan tahap jenayah di sesebuah bandar atau negara.
Indeks jenayah ini mempertimbangkan beberapa faktor antaranya pandangan penduduk dan pelawat mengenai keselamatan ketika berjalan siang dan malam serta penilaian tentang tahap jenayah berkaitan harta seperti pecah masuk dan kecurian.
Selain itu, kebimbangan terhadap pencurian, rompakan atau serangan fizikal dan penilaian tentang persepsi terhadap jenayah ganas, termasuk serangan serta kes pembunuhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

