Bukit Rotan: Kejiranan harmoni empat agama

BUKIT Rotan, terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari Kuala Lumpur, mungkin tidak sepesat kawasan sekitarnya seperti Puncak Alam, Bukit Melawati mahupun Ijok.
Namun, pekan itu memiliki keunikan tersendiri dan terkenal sebagai pekan kecil yang harmoni dan mempunyai semangat kejiranan yang akrab tanpa mengenal warna kulit dan latar belakang.
Ini terserlah lantaran lokasi empat rumah ibadat terletak dalam satu kawasan, pada jarak sekitar 200 meter antara satu sama lain. Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam, berusia lebih 100 tahun, bersebelahan Masjid An-Nuriah.
Gereja Methodist Tamil dan tokong Cina milik persendirian pula terletak di depan masjid itu.
Tahun depan, Masjid An-Nuriah dan Gereja Methodist Tamil bakal genap berusia 100 tahun.
Menurut Paderi Ezekiel Raj, 34, hubungan baik bersama jiran rumah ibadat bermula sejak sekian lama dan perkara tersebut disifatkan sebagai pemandangan biasa di Bukit Rotan.
“Saya sangat bersyukur kerana menjadi sebahagian masyarakat di sini. Dari segi cabaran, kita tiada (masalah). Kita sesuaikan diri antara satu sama lain.
“Apabila Ramadan, kami ke sana (masjid). Kami ada hubungan sangat baik. Kami juga dengar azan, yang mungkin kuat bagi sesetengah orang tetapi itu bukan masalah,” katanya.
Memberitahu tempat letak kereta di gereja dibuka kepada jemaah untuk solat Jumaat dan tarawih sepanjang Ramadan, beliau berkata kedudukan empat rumah ibadat itu menjadi tarikan pelancong.
“Setiap minggu ada pelancong datang dan kata tidak pernah tengok macam ini (rumah ibadat berdekatan). Saya kata, selamat datang ke Malaysia, kami ibarat abang dan kakak,” katanya.
Ketua Pemuda Masjid An-Nuriah, Shafiq Nizam Khwaja Shariff pula berkata mereka kerap mengajak pengurusan gereja, kuil dan tokong menyertai program anjuran mereka untuk berkongsi rezeki.
“Bulan Ramadan kita buat bubur lambuk dan beri kepada gereja dan kuil. Semasa Aidiladha, kita jemput mereka datang tengok. Kita tidak pernah ada masalah yang negatif,” katanya.
Meski kedudukan semua rumah ibadat itu berdekatan, tinjauan Media Selangor pada 12 Februari mendapati penduduk setempat tidak berdepan masalah bersifat perkauman atau keagamaan.
Penduduk asal P Vellu, 81, menjelaskan Bukit Rotan tidak pernah berdepan konflik kaum atau agama meski ada empat rumah ibadat terletak berhampiran di dalam satu kawasan.
Datuk kepada lapan cucu itu memaklumkan kawasan tersebut pada awalnya hanya ada sebuah kuil, surau dan gereja kecil sebelum saiz tiga rumah ibadat tersebut diperbesar.
“Pada awalnya di Bukit Rotan ada kuil, kemudian ada masjid kecil, gereja dan tokong. Kemudian ia dibesarkan. Sampai sekarang tiada apa-apa gangguan. Kita semua kawan-kawan juga.
“Kita tidak kira (kaum). Semua satu kali (bersama). Masjid pun ada kerja, kalau kita susah dia pun ada tolong kita,” katanya.
Bekas pekerja estet di Kuala Selangor lebih 30 tahun, Marzana Sukari, 63, dari Taman Kasawari di situ biasa hidup dalam kejiranan berbeza kaum, bahkan mahir masak juadah orang India.

“Saya boleh masak idli, kari dan macam-macam lagi. Apabila Deepavali dan Aidilfitri, kita bertukar juadah. Kalau sama-sama India, Melayu, sama saja. Tiada gaduh-gaduh,” katanya yang boleh berbahasa Tamil
Mohd Rusni Sarmin, 73, dari Sabak Bernam, yang singgah menunaikan solat di Masjid An-Nuriah, pula menyifatkan pekan Bukit Rotan unik manakala penduduknya saling hormat- menghormati.
“Kemungkinan (sifat perpaduan) ini dari generasi ke generasi. Penduduk disemai supaya hormat menghormati, kerana ini tempat ibadat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
