JKPK Kesihatan cadang kekal waktu kerja 42 Jam seminggu

Young Syefura (kiri), Laporan Sinar Ahad berhubung jururawat tidak sanggup tunggu pencen 60 tahun
Young Syefura (kiri), Laporan Sinar Ahad berhubung jururawat tidak sanggup tunggu pencen 60 tahun
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu seperti pelaksanaan sebelum ini.

Ahlinya, Young Syefura Othman berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan beban tugas yang ditanggung kakitangan kesihatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, fokus perlu diberikan kepada penambahan bilangan kakitangan kesihatan dengan segera.

“Perbandingan dengan penanda aras antarabangsa menunjukkan bahawa waktu bekerja sektor kesihatan yang dicadangkan adalah tidak wajar,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, KKM dilaporkan memutuskan untuk menambah waktu kerja jururawat dari 42 jam kepada 45 jam seminggu melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Sinar Ahad melaporkan tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau antara punca utama jururawat terutama yang berkhidmat di hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding meneruskan kerjaya sehingga usia pencen 60 tahun.

Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai berkata, situasi tersebut berlaku bukan sahaja di negara ini, malah seluruh dunia.

Dalam pada itu Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, JKPK Kesihatan telah menjalankan tiga sesi libat urus bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) pada 6, 13 serta 20 Februari tahun ini bagi membincangkan isu beban kerja melibatkan kakitangan KKM.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan di media oleh Delegasi Jururawat Malaysia (DJM), 95.5 peratus daripada 28,373 responden tidak bersetuju dengan cadangan penambahan waktu kerja berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kakitangan KKM yang bekerja dalam sistem tiga syif menghadapi cabaran unik, antaranya hanya mendapat satu hari cuti seminggu, tiada elaun kerja malam, tiada waktu rehat khusus dan tiada hari cuti tetap.

“Tambahan tiga jam seminggu berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan fizikal dan mental, serta risiko kecuaian dalam tugas,” ujarnya.

Beliau berkata, kekurangan doktor, pakar, jururawat dan penolong pegawai perubatan menambahkan lagi beban tugas sedia ada.

Tambahnya, jika waktu kerja ditambah tanpa penyelesaian terhadap isu berkenaan, lebih ramai tenaga kerja kesihatan dijangka berhijrah ke sektor swasta dan luar negara.

“Keadaan kerja yang semakin mencabar tanpa insentif setimpal boleh mengurangkan minat pelajar untuk menyertai bidang perubatan, seterusnya menyebabkan kekurangan tenaga profesional pada masa hadapan

“Secara umumnya, JKPK Kesihatan bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak berkepentingan bahawa pada masa kini, beban kerja dalam kakitangan KKM adalah tinggi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!