Syarat konsert EDM mesti lebih ketat: Karyawan

KUALA LUMPUR – Konsert muzik elektronik (EDM) didakwa lebih berisiko berbanding konsert biasa susulan kes kematian pengunjungnya akibat penyalahgunaan dadah.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, hampir semua kes maut yang dilaporkan dalam acara muzik melibatkan EDM, bukan konsert genre lain yang menampilkan penyanyi dan persembahan secara langsung.
Menurutnya, konsert EDM tidak sama seperti konsert lain kerana ia lebih menitikberatkan pengalaman muzik melalui gabungan kesan cahaya, visual dan bunyi, yang boleh mendorong sesetengah individu mengambil dadah bagi meningkatkan ‘keseronokan’.
“Kebanyakan pengunjung yang mengambil bahan terlarang ini untuk lebih menikmati muzik dan suasana konsert. Ini berbeza dengan konsert biasa di mana orang hanya datang untuk mendengar lagu dan menyaksikan persembahan artis,” katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, beliau mencadangkan agar konsert EDM dikawal ketat termasuk dari segi lokasi penganjurannya bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Freddie berkata, konsert EDM tidak wajar dianjurkan di tempat terbuka kerana faktor cuaca panas boleh memburukkan lagi kesan dadah terhadap individu yang mengambilnya.
Katanya, kebanyakan acara EDM di luar negara berlangsung di kawasan beriklim sejuk, berbeza dengan Malaysia yang mempunyai suhu panas dan lembap, sekali gus menyebabkan kesan dadah lebih cepat membawa kepada dehidrasi dan risiko maut.
Lokasi tertutup, penonton terhad
Beliau mencadangkan agar konsert EDM hanya dibenarkan diadakan di tempat tertutup yang berhawa dingin dengan kapasiti dihadkan kepada 5,000 orang bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.
“Dalam keadaan terkawal, pihak keselamatan dan perubatan lebih mudah mengenal pasti individu yang berada dalam keadaan mencurigakan atau mengalami kesan akibat dadah,” katanya.
Dalam masa sama, Freddie menegaskan perlunya tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam penjualan atau penggunaan dadah di konsert bagi memastikan gejala itu dapat dibendung.
Menurutnya, pihak berkuasa wajar menetapkan syarat lebih ketat terhadap penganjur konsert termasuk keperluan memaparkan mesej kesedaran mengenai bahaya dadah sebelum acara bermula.
“Hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat, termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati kepada pengedar dadah. Ini bukan perkara yang boleh diambil ringan,” katanya.
Penguatkuasaan lebih ketat
Mengulas lanjut, Freddie berkata pihak berkuasa juga perlu meningkatkan penguatkuasaan dengan lebih ketat bagi memastikan dadah tidak dapat diseludup ke dalam lokasi konsert.
Beliau mendakwa ada kes di mana bekalan dadah telah disembunyikan di dalam venue beberapa hari sebelum acara berlangsung, menyebabkan kawalan di pintu masuk tidak lagi berkesan.
“Kalau hanya ada pemeriksaan di pintu masuk, ia mungkin sudah terlambat kerana bekalan dadah sudah berada di dalam lokasi sejak awal. Ini yang kita perlu tangani dengan lebih bijak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak termasuk media memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah melalui kempen berskala besar.
Menurutnya, kempen ‘Muzik Tanpa Dadah’ wajar dilaksanakan secara meluas dan semua konsert perlu diwajibkan untuk memaparkan mesej anti-dadah sebelum acara bermula.
“Semua pihak harus terlibat, termasuk media arus perdana, media digital, radio dan televisyen. RTM sebagai media kerajaan juga boleh menjadi peneraju dalam kempen kesedaran ini,” katanya.
Freddie berkata, industri muzik sendiri harus memainkan peranan lebih besar dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Katanya, artis juga berpengaruh dalam kalangan peminat dan mereka perlu tampil membawa mesej positif bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dalam dunia hiburan dapat dibendung.
“Kebanyakan artis tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah, tetapi mereka perlu membantu mendidik masyarakat supaya sedar tentang bahayanya. Jangan sampai bila ada kematian baru semua mahu bercakap mengenainya,” katanya.
Dalam pada itu, Freddie berkata pihaknya akan berbincang dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam masa terdekat bagi merancang kempen kesedaran yang lebih menyeluruh.
“Kita mahu adakan kempen bersama dengan AADK dan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk media dan kerajaan, supaya mesej ini dapat disampaikan kepada semua,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masalah penyalahgunaan dadah bukan sesuatu yang baharu dan telah berlanjutan sejak berdekad-dekad.
“Kita sudah ada masalah ini lebih 50 tahun. Dulu heroin dan morfin, sekarang pil dan dadah sintetik. Sampai bila kita mahu biarkan perkara ini berlarutan?” katanya.
Freddie menegaskan bahawa penguatkuasaan dan pendidikan harus berjalan seiring bagi memastikan masalah dadah dalam konsert EDM dapat dibendung secara menyeluruh.
Industri hiburan rugi jutaan ringgit jika konsert dibatalkan
Dalam pada itu, penganjur konsert mendakwa mereka akan menanggung kerugian jutaan ringgit sekiranya kerajaan bertindak menghentikan atau mengetatkan syarat penganjuran acara hiburan susulan isu penyalahgunaan dadah di konsert tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim menegaskan, setiap acara hiburan yang dianjurkan memberi impak besar kepada ekonomi negara termasuk sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan serta makanan dan minuman.

Beliau berkata, konsert berskala besar mampu menarik ribuan pelancong asing ke Malaysia, dengan sebahagian mereka sanggup berbelanja sehingga RM3,000 setiap seorang bagi tiket, penginapan dan perbelanjaan lain.
"Kalau satu konsert ada 50,000 orang dan 20,000 daripadanya adalah pelancong luar, sekurang-kurangnya RM60 juta boleh dijana hanya dari satu acara. Itu belum masuk perbelanjaan sektor lain yang turut mendapat manfaat.
"Bila konsert dibatalkan atau ditangguhkan tanpa perancangan yang jelas, bukan sahaja penganjur yang rugi, malah banyak industri lain turut terjejas," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Shirazdeen, masalah utama yang perlu ditangani bukanlah konsert itu sendiri tetapi isu dadah yang berleluasa di Malaysia.
Katanya, dadah boleh diperoleh dengan mudah di luar konsert dan penganjur tidak mempunyai kawalan terhadap perkara itu.
“Persoalannya, dari mana dadah ini datang? Kenapa mudah sangat orang boleh dapat? Jika masalah ini tidak ditangani di peringkat akar umbi, tidak kira berapa banyak SOP diperketatkan dalam konsert, ia tetap tidak akan menyelesaikan masalah.
"Kita lihat negara jiran seperti Singapura yang mempunyai konsert DJ lebih besar daripada kita, tetapi kenapa tiada kes kematian akibat dadah? Ini kerana mereka mempunyai kawalan ketat terhadap dadah, bukan hanya fokus kepada penganjur konsert semata-mata," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang membuat keputusan secara terburu-buru tanpa berbincang dengan pemain industri hiburan.
Menurutnya, sebelum sesuatu konsert diluluskan, penganjur perlu melalui pelbagai peringkat kelulusan termasuk dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.
"PBT tidak boleh luluskan konsert tanpa rujuk polis. Polis perlu buat penilaian dan jika mereka tidak beri kebenaran, konsert tidak boleh diteruskan. Jadi kalau ada isu keselamatan, ia perlu ditangani di peringkat kawal selia yang lebih tinggi, bukan sekadar menyalahkan penganjur.
"Di Australia dan Singapura, kerajaan mereka akan duduk berbincang dengan persatuan hiburan sebelum membuat keputusan besar. Tetapi di Malaysia, keputusan dibuat dulu, baru nak bincang. Ini yang menyukarkan industri hiburan kita," katanya.
Shirazdeen berkata, setiap konsert anjuran pihaknya sentiasa mematuhi langkah keselamatan ketat termasuk pemeriksaan beg dan badan jika diperlukan sebelum penonton memasuki venue.
Malah, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan polis dalam pemantauan keselamatan dan sekiranya ada individu mencurigakan, tindakan segera akan diambil.
Beliau turut menyarankan kerajaan mencontohi model pengurusan konsert di Singapura yang lebih sistematik dan tidak menjejaskan industri hiburan secara keseluruhan.
“Keengganan kerajaan mendengar suara pemain industri boleh menyebabkan lebih ramai artis antarabangsa tak mahu mengadakan konsert di Malaysia.
"Dulu Malaysia jadi destinasi utama artis antarabangsa, tetapi sekarang mereka lebih suka ke Singapura atau negara lain sebab banyak syarat di sini yang terlalu ketat.
"Padahal industri hiburan banyak membantu ekonomi, tetapi bila berlaku insiden yang melibatkan sebahagian kecil acara, keseluruhan industri pula yang dihukum," katanya.
Mengulas mengenai konsert anjuran syarikatnya, Shirazdeen menegaskan bahawa mereka tidak pernah menganjurkan konsert DJ yang sering dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah.
"Konsert kita kebanyakannya melibatkan artis Melayu, Indonesia dan antarabangsa yang tidak ada kaitan dengan dadah. Selama ini, kita tidak pernah berdepan isu seperti ini kerana kita tahu risiko dan kita ambil langkah berjaga-jaga sejak awal.
"Jadi sangat tidak adil jika semua konsert disekat atau dikenakan syarat lebih ketat hanya kerana masalah yang berlaku dalam segelintir acara tertentu. Sepatutnya kita cari punca sebenar dan selesaikan masalah dari akar umbi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
