'Alasan tak tahu premis sewaan disalah guna, tidak boleh diterima'

KUALA LUMPUR – Pemilik premis yang gagal memantau atau melaporkan aktiviti jenayah di hartanah mereka bakal berdepan tindakan tegas, termasuk kemungkinan dikenakan liabiliti jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, alasan tidak mengetahui aktiviti dalam premis yang disewakan tidak boleh diterima.
"Pemilik premis bertanggungjawab memastikan hartanah mereka tidak disalah guna untuk tujuan jenayah," katanya pada Ahad.
Beliau berkata, dalam kebanyakan serbuan yang dilakukan, premis yang dijadikan pusat panggilan penipuan adalah unit yang disewa.
"Oleh itu, satu kaedah atau tatacara lebih tegas perlu diwujudkan bagi memastikan semua pemilik premis menjalankan proses 'Kenali Pelanggan Anda' (KYC) sebelum menyewakan unit mereka," katanya.
Ramli berkata, pengurusan hartanah diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menjual kediaman mewah kepada warga asing, terutama jika pembayaran dibuat secara tunai.
"Semakan perlu dilakukan terhadap tujuan pembelian, sumber kewangan dan sebagainya bagi memastikan premis yang dibeli tidak digunakan untuk aktiviti jenayah.
"Masyarakat perlu lebih peka terhadap persekitaran dan segera melaporkan kepada polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan kediaman mereka," katanya.
Tambahnya, cadangan untuk mengenakan liabiliti jenayah terhadap pemilik premis yang gagal memantau atau melaporkan aktiviti jenayah sedang dipertimbangkan, termasuk hukuman di bawah kesalahan pakat jahat jenayah atau bersubahat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis membongkar kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi dari lapan unit kondominium bernilai RM16 juta di Persiaran Stonor pada Rabu.
Premis berkenaan dibeli secara tunai secara berperingkat oleh warga China sebelum dijadikan pusat panggilan penipuan.
Kejayaan itu hasil serbuan Unit Taktikal Siber dan Bahagian Operasi Risikan JSJK Bukit Aman berdasarkan maklumat serta risikan.
Ramli berkata, serbuan itu berjaya menahan 14 individu, termasuk empat wanita, berusia 28 hingga 52 tahun.
Jelas beliau, suspek terdiri daripada seorang warga Turkiye, 11 warga China dan dua rakyat tempatan yang disyaki berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan serta pemandu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

