Dulu Mercedes Benz kini hospital bergerak

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, mengarahkan kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz Sprinter kegunaannya diubah menjadi hospital bergerak. Foto Agensi
Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, mengarahkan kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz Sprinter kegunaannya diubah menjadi hospital bergerak. Foto Agensi
A
A
A

BANDUNG - Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, sekali lagi mencuri perhatian dengan langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri apabila mengarahkan kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz Sprinter diubah menjadi hospital bergerak.

Arahan itu dibuat ketika beliau meninjau kenderaan rasmi kerajaan negeri di Gedung Pakuan, Bandung, dan dikongsi menerusi akaun TikTok rasminya pada Sabtu.

Dalam video berkenaan, Dedi sedang melihat deretan kenderaan yang terparkir, Dedi mempersoalkan usia dan kegunaan kenderaan tersebut.

Sebaik tiba di Mercedes Benz V-Class, beliau terus meminta Setiausaha Daerah (Sekda) Jawa Barat, Herman Suryatman, untuk menukarnya menjadi hospital bergerak.

"Pak Sekda, kenderaan ini kita ubah jadi hospital bergerak," katanya dalam video yang kini tular di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa hospital bergerak itu perlu dilengkapi kemudahan seperti pemeriksaan jantung, rawatan ibu hamil dan pengesanan awal kanser.

"Mesti ada pemeriksaan jantung, rawatan ibu hamil, kalau boleh boleh juga ada alat untuk mengesan kanser dan pemeriksaan darah," katanya.

Selain mengubah kenderaan rasmi kepada kemudahan perubatan, Dedi turut menekankan kepentingan penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri dengan mengurangkan jumlah kenderaan rasmi yang dianggap membebankan kewangan negeri.

Beliau mengarahkan supaya kenderaan Toyota Camry keluaran 2007 dilelong kerana kos penyelenggaraannya terlalu tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Jadi gabenor kena ada hospital bergerak, tapi bukan untuk saya," katanya yang juga bekas Bupati Purwakarta.

"Kereta ni jarang digunakan, berat untuk bajet negeri," tambahnya.

Sebagai alternatif, Dedi memilih untuk menggunakan Toyota Innova Zenix yang sebelum ini digunakan oleh gabenor terdahulu, manakala kenderaan rasmi Toyota Alphard miliknya diserahkan kepada Sekda Herman sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri.

"Kereta yang saya guna sekarang bagi kepada Sekda," tegasnya.

Dedi juga menyusun semula penggunaan kenderaan rasmi kerajaan negeri agar lebih bermanfaat kepada rakyat.

Sebelum ini beberapa motosikal rasmi diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan (Dinas Perhubungan) dan Satuan Polisi Pamong Praja (Satpol PP) untuk operasi harian.

Motosikal Honda CBR digunakan oleh Jabatan Pengangkutan, manakala motosikal Royal Enfield dan BMW diberikan kepada Satpol PP serta kepimpinan pejabat gabenor.

Langkah drastik Dedi dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri ini menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Ramai yang memuji pendekatannya yang pragmatik dalam mengurus aset negeri. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!