Pasangan warga emas curi duit di majlis kahwin ditahan sekali lagi

KOTA BHARU - Pasangan suami isteri yang tular selepas disyaki mencuri pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Tumpat ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes kecurian dalam satu lagi majlis perkahwinan di daerah sama.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, suspek wanita berusia 60-an direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin, manakala reman suaminya berakhir Sabtu.
Menurut beliau, polis membuka kertas siasatan selepas mendapati modus operandi sama dilakukan pasangan berkenaan.
"Laporan polis diterima daripada seorang warga emas berusia 60 tahun pada 22 Februari tahun lalu kira-kira jam 10.18 pagi
"Warga emas terbabit memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika majlis perkahwinan anak perempuannya di Kampung Periok, Chabang Empat, Tumpat.
"Mereka didatangi seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an yang tidak dikenali ahli keluarga dan menceroboh masuk ke dalam bilik tidur pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Khairi berkata, wanita itu dipercayai mencuri beg tangan isteri pengadu yang mengandungi wang tunai berjumlah RM3,000 sebelum beredar meninggalkan majlis.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi penolong pegawai penyiasat jenayah, Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh di talian 09-7257222.
Sebelum ini pasangan suami isteri itu direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas selepas dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan pada 1 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
