Pilih bersara awal kerana kurang masa untuk diri sendiri, keluarga

KURANG masa untuk diri sendiri atau bersama keluarga disebabkan sibuk bertugas menjadi antara faktor sebilangan jururawat terutama di hospital kerajaan lebih cenderung bersara awal berbanding berkhidmat sehingga usia 60 tahun.
Jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Munirah berkata, dia sudah berkira-kira untuk berhenti kerja, malah semakin nekad untuk berbuat demikian selepas mendengar khabar bahawa tempoh jam bertugas akan bertambah.
“Selepas ada ura-ura waktu tambahan satu jam akan dilaksanakan, saya terus jadi tawar hati dengan kerja. Banyak perkara perlu saya ambil kira termasuk upah tambahan kepada pengasuh apabila pulang lewat nanti.
“Sekarang pun waktu saya dengan anak-anak yang masih kecil memang kurang. Balik kerja jam 9 malam, sampai rumah 10 malam, anak-anak semua sudah tidur,” katanya kepada Sinar Ahad.
Munirah yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang berkata, sepanjang berkhidmat sebagai jururawat, perkara paling sukar ialah memohon cuti.
Ujar Munirah, sukar untuk mengambil cuti panjang menyebabkan dia sangat jarang dapat berkumpul bersama ahli keluarga lain di kampung.
“Susah nak dapat cuti, Kalau dapat pun, paling lama lima hari saja. Itu menjadi salah satu faktor saya tawar hati dan terfikir untuk bersara awal,” katanya yang bertugas di unit kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

