Negara tanggung kos tinggi untuk lahirkan jururawat baharu

Pengambilan jururawat dan latihan melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan. Gambar kecil: Dr Abdul Rais
Pengambilan jururawat dan latihan melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan. Gambar kecil: Dr Abdul Rais
A
A
A

SHAH ALAM - Negara berdepan peningkatan kos bagi melahirkan tenaga kerja dalam bidang perubatan sekiranya ramai jururawat memilih untuk bersara lebih awal.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pengambilan jururawat dan latihan melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan.

“Apabila mereka memilih bersara awal, sudah pasti memberi kesan terutama peningkatan beban kerja disebabkan kekurangan tenaga pekerja dalam sektor berkenaan.

“Ini mengakibatkan peningkatan kos latihan dan pengambilan kerana terpaksa rekrut pekerja baharu dengan kemahiran lebih intensif dan berteknologi untuk memastikan para jururawat bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Ahad.

Abdul Rais mengakui isu gaji sering menjadi inti pati perbualan dalam kalangan kakitangan kesihatan itu kerana berpendapat ia tidak setimpal dengan beban tugas yang digalas.

Beliau berpandangan, perbandingan gaji dengan negara jiran menjadi faktor utama kumpulan tersebut memilih berhijrah dan berkhidmat di luar negara.

“Fenomena bersara awal ini berpunca daripada pelbagai faktor. Tidak boleh dinafikan isu pendapatan antara sebab mereka memilih untuk menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau sehubungan menggesa kerajaan menyemak semula sistem gaji dan insentif kepada jururawat sesuai dengan bebanan yang ditanggung.

“Perlu diingatkan, golongan jururawat adalah nadi utama dan penting dalam menjadikan sektor perkhidmatan kesihatan negara lebih berkualiti,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!