Unit Integriti, GLC perlu lebih kuasa siasat kes rasuah penjawat awam
SHAH ALAM - Unit Integriti dalam jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu diberikan kuasa lebih besar untuk melakukan siasatan berkaitan kes salah laku atau rasuah terutama melibatkan penjawat awam.
Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Mukmin Nusril berkata, pemerkasaan unit tersebut penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran yang membabitkan penjawat awam.
“Dengan memperkukuh keupayaan unit ini, sebarang ketirisan, salah laku, atau penyalahgunaan kuasa dapat dikesan lebih awal, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan GLC.
“Bukan itu sahaja, pelaksanaan audit bebas secara berkala juga perlu diperkenalkan bagi memastikan ketelusan dalam sistem perolehan dan pengurusan kewangan kerajaan.
“Saya berpendapat, audit yang dijalankan oleh badan bebas dapat mengenal pasti kelemahan serta risiko berpotensi membawa kepada ketirisan dana awam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 2,208 penjawat awam didakwa terbabit rasuah, dengan 1,070 dituduh manakala 493 disabitkan kesalahan sejak 2020 hingga tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia dilakukan hasil pembukaan 725 kertas risikan, 3,765 kertas penyiasatan awam dan 2,265 kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan penjawat awam dalam tempoh sama.
Dalam pada itu, Muhammad Mukmin berkata, laporan yang dikemukakan tersebut merupakan satu cerminan serius terhadap cabaran yang masih dihadapi bagi membendung rasuah dalam sektor awam.
Jelasnya, walaupun usaha berterusan telah dilakukan oleh SPRM, jumlah tangkapan yang tinggi menunjukkan bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem kawalan dan pemantauan terhadap integriti penjawat awam.
“Namun, pada masa sama, statistik ini juga membuktikan keberkesanan tindakan SPRM mengesan dan mengambil tindakan terhadap kes rasuah, yang merupakan satu perkembangan positif dalam usaha membersihkan sektor perkhidmatan awam.
“Saya berpandangan, ketegasan pengambilan dan pemilihan pegawai kerajaan amat penting untuk elakkan rasuah dalam golongan ini. Hanya individu yang berintegriti dan bebas daripada sebarang rekod salah laku sahaja boleh dilantik ke jawatan penting,” ujarnya.
Tambah Muhammad Mukmin, proses saringan pemilihan jawatan yang lebih ketat termasuk semakan latar belakang menyeluruh juga perlu dilaksanakan bagi mengekang risiko ketirisan dan salah guna kuasa dalam sektor awam.
“Mungkin dengan langkah ini, kita boleh perkukuhkan sistem pentadbiran kerajaan dan pastikan perkhidmatan awam bebas daripada jenayah itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
