Video Pendek HARA bantu terap nilai integriti antirasuah

SHAH ALAM - Pertandingan Video Pendek: Malaysia Bangkit, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 menjadi platform terbaik bagi mengajak rakyat Malaysia khususnya pelajar sekolah untuk mengetahui keburukan rasuah.
Wakil pemenang tempat pertama kategori pelajar dan guru sekolah, Awang Amirul Hazwan Awang Mahmudin, 39, berkata, ia juga menjadi salah satu kaedah penyampaian berkesan kepada masyarakat pelbagai lapisan bagi meningkatkan integriti, memupuk semangat antirasuah serta menyebarkan kesedaran ke arah pembentukan negara bebas rasuah.
“Ia bukan hanya sebuah pertandingan bagi menentukan siapa menang tetapi pengisian dan matlamat ke arah menjadi masyarakat serta negara lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Awang Amirul yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Padas Sandakan berkongsi, idea pembikinan video perangi rasuah itu daripada dirinya juga rakan-rakan.
"Situasi di dalam video tersebut dipercayai berlaku dalam kalangan murid sekolah. Melalui video ini, kami ingin menegur dan menyampaikan mesej dengan cara yang lebih berkesan.
"Jika nilai antirasuah diterapkan sejak sekolah rendah, insya-ALLAH ia akan memberi impak besar bagi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, salah seorang murid di sekolah sama, Mohammad Hasyif Hurairah, 12, turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan yang dicapai bersama rakan-rakannya dalam pertandingan tersebut.

"Saya berasa sangat bangga kerana ini merupakan salah satu pencapaian terbesar kami. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan,” katanya.
Penyertaan bagi Pertandingan Video Pendek 2024 yang dianjurkan oleh Rasuah Busters dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mencatat sebanyak 127 penyertaan berbanding 74 pada tahun 2023, menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 72 peratus.
Bagi kategori pelajar dan guru sekolah serta kategori Penuntut (IPT), masing-masing menerima 44 penyertaan.
Sektor awam dan agensi pula menyumbang 11 penyertaan, manakala kategori umum mencatat 28 penyertaan.
Secara keseluruhan, lebih 500 rakyat Malaysia terlibat dalam penghasilan video untuk pertandingan itu.
Jumlah tontonan bagi pertandingan tahun ini mencecah 3,559,747 tontonan, dengan video tertinggi mencatat 1.3 juta tontonan.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba, Firdaus Abu Bakar, 37, yang mewakili Balai Bomba Alor Gajah sebagai pemenang tempat pertama kategori sektor awam berkata, video dihasilkan adalah adaptasi daripada kes sebenar yang diolah semula.

“Idea video ini tercetus selepas melihat iklan pertandingan anjuran Rasuah Busters, lalu kami berbincang dan mencari konsep yang sesuai untuk diketengahkan.
"Hasil perbincangan, kami mengadaptasi kes sebenar yang pernah berlaku dan mengolahnya menjadi sebuah video. Ia mengetengahkan isu serta amalan tidak berintegriti yang wujud dalam sesetengah jabatan atau institusi,” kata beliau.
Firdaus tidak menafikan salah laku berkaitan integriti dan rasuah sememangnya wujud di pelbagai jabatan serta penjawat awam.
"Saya tidak menyangkal salah laku seperti yang dipaparkan dalam video memang berlaku. Tabiat rasuah secara umum wujud dalam pelbagai sektor."
“Aktiviti tidak bermoral seperti ini tidak sepatutnya berlaku di sektor awam atau di tempat kerja masing-masing. Justeru, melalui video ini, kita dapat memberi kesedaran kepada orang awam dan pegawai terlibat,” ujarnya.
Bagi pemenang tempat pertama kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pula, pelajar daripada International Islamic University Malaysia (IIUM), Pagoh, Ahmad Zulfahmi Ahmad Burhanuddin, 23, berkata, pertandingan ini menjadi platform berguna kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat dalam bidang videografi.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, teruja, dan terharu dinobatkan sebagai pemenang. Saya berterima kasih kepada 15 ahli yang terlibat dan kejayaan ini adalah hasil usaha bersama.
"Platform ini sangat berguna terutama bagi golongan muda untuk menceburi bidang videografi serta menonjolkan bakat dalam pembikinan filem pendek sekali gus dapat memupuk semangat anti rasuah di peringkat IPT,” kata Ahmad Zulfahmi.
Tambahnya, amalan rasuah kecil sering terlepas pandang dalam institusi tertentu, maka pendedahan awal melalui videografi dan pendidikan mampu meningkatkan kesedaran mengenainya.
"Secara umum, rasuah kecil mungkin berlaku dalam bentuk seperti membodek pensyarah atau belanja rakan dengan niat tertentu. Perkara sebegini sering dianggap remeh, tetapi hakikatnya ia tetap termasuk dalam kategori rasuah.
"Pendekatan terbaik adalah memberi pendedahan awal bahawa amalan ini tidak dibenarkan. Selain videografi dan penceritaan, pendidikan serta ceramah juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
