Kerajaan digesa bentang RUU Perkhidmatan Parlimen bebas daripada badan eksekutif

SHAH ALAM - Kerajaan digesa membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang bebas daripada badan eksekutif dalam usaha mereformasikan Parlimen agar ia dapat melaksanakan peranannya dengan berkesan.
Kumpulan Masyarakat Sivil dalam satu kenyataan bersama berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen sepatutnya memberikan autonomi institusi, pentadbiran serta kewangan kepada Parlimen seiring usaha Kerajaan Madani dalam memperkasa peranannya lebih-lebih lagi sebagai medium semak dan imbang.
Menurut kenyataan itu, Perkara 65(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan perlu dimasukkan semula bagi menghidupkan Akta Perkhidmatan Parlimen selaras perjalanan prinsip pengasingan tiga kuasa kerajaan yang setaraf dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi dasar kepada negara demokrasi.
Jelasnya, prinsip pengasingan kuasa itu membolehkan institusi Parlimen, eksekutif dan kehakiman bebas antara satu sama lain, namun tetap memeriksa perjalanan tugas masing-masing.
“Pindaan Perkara 65, Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat juga mesti dikembalikan semula agar jawatan mereka dilindungi serta boleh dicadangkan namanya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang bebas.
“Selain itu, jawatan Ketua Pentadbir Parlimen sebagai ketua yang dikanunkan dalam Akta Perkhidmatan Parlimen baharu perlu bersifat terbuka dan bebas daripada badan eksekutif.
“Setelah dilantik Ketua Pentadbir Parlimen, Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat ini, pemegang jawatan perlu dianggap ahli perkhidmatan Parlimen. Sekiranya dilantik dalam kalangan perkhidmatan awam, mereka perlulah letak jawatan,“ katanya pada Khamis.
Antara badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam mengemukakan gesaan terbabit ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Individu yang turut terlibat ialah Ketua Pasukan Rasuah Busters merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pakar Runding Hal Ehwal Parlimen, Maha Balakrishnan; Saintis Politik, Profesor Wong Chin Huat dan Pengasas Yayasan Cerdik, Shah Hakim Zain.
Kumpulan masyarakat sivil seramai 134 ahli itu berpandangan, penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen perlu diketuai Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan sekumpulan ahli Parlimen merentasi parti politik.
Tambahnya, penubuhan Jawatankuasa Tetap Bersama bagi pentadbiran dan kewangan Parlimen penting dalam usaha memantau serta membantu suruhanjaya menjayakan peranannya.
Katanya lagi, ia bukan sahaja membantu menambah baik urusan pentadbiran dan kewangan melalui semakan serta syor penambahbaikan setiap tahun, malah memastikan ketelusan Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar kerajaan mengambil tanggungjawab dan memberikan komitmen kukuh terhadap reformasi insitusi Parlimen.
“Akta Perkhidmatan Parlimen yang tak memperkasakan kebebasan Parlimen tidak bermakna dan hanya mengundang persoalan tentang iltizam Kerajaan Madani terhadap demokrasi serta reformasi.
“Sekiranya RUU tidak menepati ciri-ciri undang-undang perkhidmatan Parlimen di peringkat antarabangsa, kami mendesak ia dihantar ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk semakan semula di bawah Peraturan Mesyuarat 54 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Dedahkan ia kepada umum untuk disemak pemegang taruh yang lain,“ ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

