Dua saksi kanak-kanak lakonkan semula pertemuan dengan Zayn Rayyan

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Seramai dua saksi kanak-kanak yang kali terakhir melihat Zayn Rayyan Abdul Matin di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember dua tahun lalu, selesai memberi keterangan dalam prosiding tertutup di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Dua budak itu turut membuat pengecaman terhadap ibu kanak-kanak autisme, Ismanira Abdul Manaf, 30, yang berada di kandang tertuduh, sebagai ibu Zayn Rayyan.
Ismanira hadir bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dalam perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak sulung mereka.
Ini merupakan hari ketiga, dua saksi yang dikategorikan sebagai saksi terlindung, hadir untuk memberi keterangan dalam prosiding di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Mereka selaku saksi pendakwaan ke-14 dan 15, memberi keterangan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 bermula Selasa lalu.
Prosiding diteruskan pada Rabu, untuk lakonan semula pertemuan mereka dengan Zayn Rayyan, dalam sesi lawatan pihak mahkamah di lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu di aliran anak sungai.
Selepas prosiding, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, prosiding yang ditetapkan pada 10 Mac depan dilapangkan.
Sementara pendakwaan dalam prosiding ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Setakat ini, seramai 20 saksi telah dipanggil memberi keterangan terhadap kedua-dua pasangan terbabit.
Pendakwaan memaklumkan, senarai berkenaan mungkin bertambah berbanding bilangan asal, hanya 32 saksi termasuk dua budak berkenaan.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokan harinya, jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Perbicaraan bersambung 11 Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

