Anjing K9 tidak temui Zayn Rayyan di anak sungai, 10 jam sebelum mayat dijumpai

Ismanira (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu. Foto Bernama
Ismanira (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – Unit anjing pengesan K9 yang menyertai misi pencarian Zayn Rayyan Abdul Matin tidak menemui keberadaan kanak-kanak autisme itu, di anak sungai dekat Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 11 pagi, 6 Disember 2023, iaitu 10 jam sebelum mayatnya ditemukan di kawasan sama.

Anggota polis Unit K9 dari Bukit Aman, Lans Koperal Aznizam Bah Jada, 29, berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi yang juga pemegang anjing bernama Red ini berkata, pencarian telah bermula melibatkan kekuatan tiga anggota polis bersama dua anjing, di laluan kanak-kanak tersebut dikatakan berlari masuk ke kawasan hutan.

“Saya bersama anjing kemudiannya meneruskan operasi mencari di kawasan longkang berdekatan ke kawasan seberang, kemudian tiba di pagar zink di kawasan perumahan bersebelahan.

“Memandangkan kami gagal menemui petanda positif, saya ambil keputusan untuk berpatah balik dengan melalui kawasan bawah tebing sungai sehingga ke titi,” katanya.

Pendakwaan: Itu hulu sungai?

Aznizam: Ya, hulu sungai, lepas itu saya melintas sebelah kawasan perumahan namun tiada apa-apa indikasi daripada anjing saya, kosong.

Pendakwaan: Lepas itu Lans Koperal buat apa?

Aznizam: Saya terus ke kawasan perumahan dan buat pencarian di sekitar kawasan berkenaan, blok rumah tempat tinggal ibu bapa Zayn Rayyan, rumah sampah, kawasan pondok serta belakang kawasan bangunan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan: Kenapa K9 tidak dapat kesan kes orang hilang ini?

Aznizam: Red menggunakan panduan bau, menggunakan pakaian Zayn Rayyan yang tidak dicuci, tapi memang tiada apa-apa di kawasan itu.

Pendakwaan: Pada pandangan Lans Koperal, kenapa anjing K9 tidak dapat mengesan sebarang pentunjuk mengenai kehilangan Zayn Rayyan?

Aznizam: Sebetulnya pada hari pertama, kawasan itu sudah tercemar dengan kesan-kesan penduduk yang meredah kawasan berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan tertuduh ini, Aznizam mengesahkan, Red tidak membuat pemeriksaan di koridor setiap tingkat Blok R.

“Ini kerana, kami memerlukan kebenaran daripada pegawai penyiasat kanan yang mengendalikan kes orang hilang ini.

“Bagaimanapun, disebabkan kebanyakan penghuni blok terbabit adalah Muslim, maka kami tidak mahu membebankan penduduk yang perlu melakukan samak, jadi kami mampu mampu membuat pencarian di kawasan bawah sahaja,” katanya.

Saksi ini juga berkata, selain Red, mereka turut dibantu oleh seekor lagi anjing pengesan lain bersama tiga anggota polis malah disertai oleh penduduk lain termasuk kanak-kanak, demi menjayakan misi pencarian Zayn Rayyan.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-19 mengulangi pendirian sama, apabila menyatakan anjing unit K9 bernama Chief, tidak memperoleh tanda-tanda positif lokasi Zayn Rayyan ketika operasi dijalankan, pada jam 11.30 malam 5 Disember 2023 dan 10 malam, keesokan harinya.

Anggota polis Unit K9 dari Pulapol Kuala Lumpur, Lans Koperal Afendy Hendry, 35, berkata, seramai tiga anggota polis dan dua anjing K9 menjalankan operasi pencarian selama dua hari, pada waktu malam.

Menurutnya, pada malam pertama, operasi menjurus ke arah pencarian kehilangan Zayn Rayyan di belukar belakang blok R hingga ke anak sungai.

“Pada malam kedua, ia beralih kepada pencarian stoking mangsa, iaitu di sepanjang sungai dari lokasi mangsa dijumpai.

“Lebih kurang 20 minit mencari, cuaca mula hujan, ketika itu K9 gagal memberi sebarang pentujuk positif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!