Ibu Zayn Rayyan hanya galas beg sekolah, beg silang ketika anak hilang - Jiran

Zaim Ikhwan dan Ismanira (kanan) didakwa atas kes pengabaian terhadap anaknya, Zayn Rayyan.
Zaim Ikhwan dan Ismanira (kanan) didakwa atas kes pengabaian terhadap anaknya, Zayn Rayyan.
A
A
A

PETALING JAYA - Jiran kepada Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa ibu kepada kanak-kanak autisme itu hanya menggalas beg sekolah dan beg silang ketika hari anaknya itu hilang.

Saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan ibu bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.

Rashidah, 37, berkata, dia menyedari perkara itu ketika terserempak dengan Ismanira sebanyak dua kali, pada jam 12.15 dan 12.45 tengah hari.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, saksi yang juga suri rumah itu berkata, semasa kejadian, dia mahu menghantar anak sulungnya ke sekolah.

“Tiada beg lain, saya hanya nampak Ismanira menggalas beg sekolah berwarna biru merah berserta beg silang,” katanya.

Dalam pada itu, saksi ini juga berkata, dia terserempak dengan ibu Zayn Rayyan, memakai pakaian berbeza selang 20 minit pada hari kanak-kanak itu hilang.

Pendakwaan: Puan tahu bila Zayn Rayyan hilang?

Rashidah: 5 Disember, tapi tahun tak pasti.

Pendakwaan: Apa yang berlaku pada tarikh itu?

Artikel Berkaitan:

Rashidah: Pada jam 12.15 tengah hari, semasa saya mahu turun ke tingkat bawah untuk menghantar anak ke sekolah, saya terserempak dengan ibu Zayn Rayyan di tangga.

Pendakwaan: Puan ingat pakaiannya?

Rashidah: Ingat, dia pakai tudung berwarna hitam, berbaju putih tapi tidak pasti kain atau seluar ‘palazzo’, ia berwarna hitam.

Pendakwaan: Kemudian?

Rashidah: Pada jam 12.35 tengah hari, semasa mahu pulang ke rumah, saya berselisih lagi dengan Ismanira di tangga, dia mahu turun, masa itu dia hanya menggalas beg silang, memakai tudung bercorak warna gelap.

Pendakwaan: Adakah pakaiannya pada jam 12.15 tengah hari, berbeza dengan ketika puan terserempak 12.35 tengah hari?

Rashidah: Tak sama, lain.

Pada perbicaraan hari ketiga, 5 Februari lalu, saksi pendakwaan keempat, Pegawai Penyiasat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, berkata, semasa rakaman percakapan diambil, beliau meminta Ismanira selaku pengadu menceritakan semula kejadian kehilangan anak sulung tertuduh itu.

Nina Syamimi yang kini bertugas di Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata, Ismanira memaklumkan kanak-kanak itu tidak mahu pulang kerana mahu bermain buaian.

Beliau berkata, pengadu kemudiannya naik ke tangga bersama kanak-kanak itu yang berjalan di belakang.

Bagaimanapun beliau berkata, pengadu mendapati tidak mendengar tapak kaki Zayn Rayyan dan mendapati kanak-kanak tersebut hilang.

Katanya, sewaktu kejadian, pengadu memaklumkan dia memegang barang yang dibeli pada tangan kanan dan kirinya.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!