Datuk rugi RM26.6 juta dijerat 'scammer' pelaburan kripto

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bergelar Datuk kerugian RM26.6 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan mata wang kripto melalui aplikasi UVKXE.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa membuat laporan polis di Brickfields, Kuala Lumpur pada Khamis.
Katanya, mangsa yang juga pengarah syarikat pembinaan melihat iklan pelaburan itu selepas membuat carian di Google.
"Mangsa kemudiannya menekan pautan disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp '12 Gatering Stocks Into Gold' sebelum diajar pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Profesor Stanley Lim.
"Terpedaya dengan janji-janji keuntungan ditawarkan, mangsa memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bermula 17 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu, mangsa telah membuat transaksi wang ke sembilan akaun bank didaftarkan atas nama pelbagai syarikat dengan jumlah keseluruhan transaksi RM26.6 juta.
"Melalui semakan yang dibuat mangsa pada Januari lalu, dia mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga USDT 269.247 juta (kira-kira RM1.2 bilion).
"Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai," jelasnya.
Menurutnya, untuk rekod, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes ini turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.
"Setakat ini, sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai kerugian keseluruhan RM61.4 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
