YIM mahu jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi berasaskan identiti tempatan

KUALA LUMPUR - Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bukan sekadar agensi pembiayaan, tetapi berperanan sebagai jambatan menghubungkan idea kreatif masyarakat dengan sumber, latihan dan pasaran.
Dengan sasaran 5,000 projek inovasi dan lebih 500 projek dikomersialkan menjelang 2030, YIM berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi berasaskan identiti tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata, YIM telah membantu membangunkan ekosistem inovasi sosial bagi membolehkan golongan inovator membangunkan teknologi serta kaedah penyelesaian inovatif yang dapat menangani cabaran sosial dan keperluan masyarakat.

Jelasnya, bagi memperkukuhkan ekosistem inovasi sosial yang holistik, YIM menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi industri, komuniti dan akademia.
"Selain itu, YIM menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan Malaysia sebagai negara maju, mampan, dan berteknologi tinggi berteraskan kesejahteraan sosial.
"Ini sejajar dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan lestari," ujarnya dalam pertemuan bersama pengamal media di sebuah restoran di Bangsar di sini pada Khamis.
Sebagai rekod, YIM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) yang ditubuhkan pada 20 Oktober 2008.
YIM berperanan sebagai platform untuk mencari, membangun, dan memadankan dana pembangunan inovasi dengan rangkaian lebih 6,000 inovator di seluruh negara.
Tujuan utamanya adalah untuk menggalakkan dan membudayakan inovasi akar umbi yang berpotensi dikomersialkan, sekaligus meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan B40.
Mengulas lanjut, beliau berkata, YIM menyediakan pelbagai bentuk geran untuk menyokong inovator dan komuniti, antaranya geran MyIS Komuniti, geran MyIS Inovasi Sosial Akar Umbi dan geran Inclusive SME Ecosystem.
"Geran-geran ini bertujuan membiayai projek yang memberi impak positif kepada masyarakat, dengan jumlah pembiayaan antara RM50,000 hingga RM300,000 bergantung kepada kriteria projek seperti skala, keperluan, dan tahap kesiapan inovasi," ujarnya.

Dr Shamila menambah, seramai 129 inovator menerima bantuan geran daripada YIM dalam tempoh 2021 sehingga 2024 menerusi program MyIS Inovasi Sosial Akar Umbi (40), MyIS Komuniti (55) dan Inclusive SME Ecosystem (34).
Dalam pada itu, pada tahun ini, YIM merancang untuk memperluaskan program sokongan kepada inovator melalui latihan dan bantuan pembiayaan yang lebih menyeluruh.
"Juga memperkukuhkan kerjasama dengan sektor swasta dan agensi kerajaan bagi mewujudkan akses pasaran serta peluang komersialisasi dan memfokuskan kepada bidang teknologi terkini seperti AI, robotik, dan bioteknologi melalui bengkel dan program latihan khusus.
"Selain itu, YIM juga akan membangunkan lebih banyak Ruang Daya Cipta (RDC) bagi membolehkan komuniti tempatan mengakses kemudahan teknologi dan peralatan bagi penumbuhan inovasi," ujarnya.
Beliau menjelaskan, RDC merupakan salah satu inisiatif utama YIM yang bertujuan memperkasakan komuniti melalui pembangunan inovasi berasaskan keperluan setempat.
"Setakat ini, terdapat 20 RDC di seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam menyokong inovator komuniti," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

