Pemuda UMNO gesa hina kaum dikenakan tindakan, bukan sekadar mohon maaf

SHAH ALAM - Perbuatan menghina sesama kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang dan bukan sekadar berakhir dengan permohonan maaf.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penguatkuasaan undang-undang wajib dikenakan supaya ia menjadi pengajaran buat orang lain.
“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dahulu selepas itu minta maaf akan semakin berleluasa. Semakin mudah golongan-golongan ini terlepas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, tular sekeping gambar memaparkan gerai penjual jagung meletakkan papan tanda berunsur perkauman terhadap kaum India hingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya.
Penjual jagung berkenaan yang dikenali sebagai Abdul Aziz Musa kemudiannya tampil memohon maaf di atas kesilapannya, selain menyatakan dia sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.
Permohonan maaf itu dibuat pada Ahad di sebuah restoran di Sepang menerusi pertemuan yang diatur oleh pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) selaku orang tengah.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X menegaskan, semua pihak perlu sentiasa berusaha untuk memastikan setiap perkataan dan tindakan tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama.
Justeru katanya, menjadi tanggungjawab rakyat untuk bersama menjaga keharmonian di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!