Bazar Ramadan, Syawal akan pupus jika harga tapak melampau

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) melahirkan kebimbangan bazar Ramadan dan Syawal akan pupus pada masa hadapan sekiranya tapak dijual pada harga terlalu tinggi.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, setiap kali menjelang Ramadan, peniaga masih berdepan kemelut dihimpit harga tapak mahal sehingga cecah ribuan ringgit dan sekiranya tidak dikawal kelak menyebabkan bazar tidak lagi dikunjungi.
Berikutan itu, pihaknya mencadangkan agar diperkenalkan harga siling tapak bazar Ramadan dan Syawal untuk diselaraskan di setiap negeri.
“Perlu ada satu sistem lebih efisien. Kita kini dalam dunia teknologi tinggi dan miliki data peniaga, sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah tahu siapa yang benar-benar peniaga.
“Berikan kepada orang yang tepat dan pantau harga tapak. Mungkin sudah tiba masa letak harga siling dan tidak dibenarkan jual/sewa melebihi harga tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas program Cake bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini pada Rabu.
Mohamad Yusrizal berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan disarankan agar memperkenalkan garis panduan kepada semua PBT supaya harga tapak jualan tidak membebankan peniaga.
“Sistem pemberian tapak Ramadan/Syawal perlu ditambah baik dan lebih tersusun. Ada gunakan sistem undi, dalam talian dan bida, namun tetap berlaku ketirisan.
“Jika tapak dijual sehingga RM20,000, saya rasa tak logik. Bila tapak jualan mahal, untuk dapatkan balik untung peniaga jual makanan pada harga mahal, akhirnya pengguna yang terkesan,” ujarnya.
Menurutnya, kewujudan bazar Ramadan, Syawal sepatutnya membantu peniaga meraih pendapatan, bukannya menekan mereka dengan harga tapak melampau.
“Ia juga antara produk tarikan pelancong ke negara ini. Namun apabila sudah lari dari tujuan asal (bantu peniaga), akhirnya bazar-bazar ini akan mati satu hari nanti sepertimana pasar malam,” ujarnya.
Mohamad Yusrizal berkata, PBT harus memainkan peranan secara berkesan dan tidak hanya mengejar keuntungan daripada bazar Ramadan, Syawal.
“Macam-macam aduan, ada bagi sewa tapak tak bagi khemah, tiada bekalkan elektrik sedangkan tapak mahal.
“Di Pendang ada aduan penjualan tapak sehingga 10 kali ganda, daripada RM250 tahun lepas kepada RM2,500 tahun ini. Ini akan menyebabkan kenaikan harga barang di bazar Ramadan dan Syawal.
“Di Kuala Lumpur, ada sehingga RM150,000 harga tapak, tidak munasabah. Apabila pengguna tak beli, mereka salahkan pengguna dan kerajaan sebab kos awal tinggi, harga makanan melambung. Ia perlu diharmonikan,” katanya.
Menurutnya, diharap PBT tidak menaikkan harga jualan tapak dan menilai semula harga berkenaan agar tidak membebankan peniaga.
“Pemantauan juga perlu dilakukan terhadap kemungkinan berlaku kes ali baba dalam pemilikan tapak niaga.
“Walaupun sistem diubah kepada tender atau dicabut undi, isu ini masih berlaku. PBT sudah tentu memiliki data peniaga menerusi lesen berdaftar, tapisan perlu lebih ketat bagi elak wujudnya broker atau ali baba.
“Tidak mustahil tapak itu dipindah milik kepada dua atau tiga peringkat, kita harap sistem ini lebih telus dan tidak ditawarkan hanya kepada satu pihak. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu pantau dan siasat jika ada aduan,” katanya.
Pada 10 Februari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana peniaga yang berniat menjadi orang tengah atau memindahkan lesen perniagaan di bazar Ramadan kepada pihak lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

