MDP nafi sewa tapak bazar Ramadan, Aidilfitri naik 10 kali ganda

PENDANG - Majlis Daerah Pendang (MDP) menafikan harga sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah itu naik sehingga 10 kali ganda seperti didakwa Persatuan Pengguna Kedah (Cake).
Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang, Nasrun Mohd Sheriff berkata, terdapat kekeliruan berhubung harga tapak sewaan tersebut berikutan beberapa pakej berbeza ditawarkan kepada individu yang berminat.
Menurutnya, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan terbaik dalam menguruskan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri tahun ini supaya ia lebih teratur dan efisien.
"Kadar sewaan tapak bazar Ramadan tahun ini adalah sama seperti tahun sebelumnya, iaitu bermula dari RM350 per tapak sahaja untuk tempoh satu bulan.
"Kadar sewaan tapak bazar Aidilfitri pula bermula dari harga RM850 sehingga RM3,800 (selama 15 hari) bergantung kepada saiz tapak dan pilihan kemudahan yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Nasrun berkata, kadar sewaan yang dikenakan adalah bersesuaian dengan pakej yang disediakan oleh penganjur.
“Pihak majlis juga menyediakan tapak alternatif kepada peniaga-peniaga yang kurang berkemampuan.
"Sewaan tapak bazar Aidilfitri bermula 16 Mac hingga malam raya bagi pakej platinum keluasan tapak 20x20 kaki dengan kemudahan khemah, elektrik, lampu dan kipas bagi zon A adalah RM3,800 dan zon B dan C adalah RM3,500.
"Bagi pakej platinum pula, harga tapak sahaja (tanpa kemudahan khemah dan lain) adalah RM2,500,” katanya lagi.
Menurutnya, bagi pakej gold pula, keluasan tapak 12x20 kaki dengan kemudahan khemah, elektrik, lampu dan kipas adalah RM3,000 dan zon B sewa sebanyak RM1,800.
"Pakej gold tapak sahaja adalah RM1,800, bagi pakej silver dengan keluasan tapak 10x10 kaki adalah RM850 (tapak sahaja). Kesemua harga ini termasuk kebersihan, lesen sementara, promosi dan lain-lain," jelasnya lagi.
Nasrun berkata, tapak zon A tahun lalu ditetapkan pada kadar sewa RM650 bagi tiga hari (RM216 sehari) manakala tahun ini bagi 15 hari adalah RM2,500 dengan purata sehari RM166.
Pada Rabu, Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff melahirkan kebimbangan bazar Ramadan dan Syawal akan pupus pada masa hadapan sekiranya harga tapak dijual pada harga terlalu tinggi.
Menurutnya, setiap kali menjelang Ramadan, peniaga masih berdepan kemelut dihimpit harga tapak mahal sehingga cecah ribuan ringgit dan sekiranya tidak dikawal kelak menyebabkan bazar tidak lagi dikunjungi.
Berikutan itu, pihaknya mencadangkan agar diperkenalkan harga siling tapak bazar Ramadan dan Syawal untuk diselaraskan di setiap negeri.
Mohamad Yusrizal turut menerima aduan berkaitan penjualan tapak sehingga 10 kali ganda, daripada RM250 tahun lepas kepada RM2,500 tahun ini yang dibimbangi akan menyebabkan kenaikan harga barang di bazar Ramadan dan Syawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

