MBAS pantau aktiviti ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan memperketat pemantauan terhadap aktiviti ‘ali baba’ dalam penyewaan tapak bazar Ramadan di kawasannya bagi memastikan hanya peniaga yang berdaftar diberikan ruang berniaga.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan tapak bazar termasuk pemindahan atau penyewaan semula kepada pihak ketiga.
“Kita ada sistem pengawasan yang membolehkan peniaga dikenali dan dikenal pasti melalui pas khas yang diberikan kepada mereka.
"Penguat kuasa MBAS akan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan tiada peniaga yang menyalahgunakan tapak yang diberikan,” katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas taklimat kepada peniaga tapak bazar Ramadan di Dewan MBAS, dekat sini.
Menurutnya, selain penguat kuasa MBAS, penyelia yang ditugaskan serta ahli majlis di setiap zon turut dipertanggungjawabkan untuk melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang terbukti menjual atau memindahkan tapak mereka kepada orang lain.
"Mereka akan melalui proses undang-undang dan jika didapati bersalah, tapak mereka akan dibatalkan serta-merta,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Gafar berkata,MBAS turut menekankan kepentingan toleransi dan kerjasama antara peniaga serta agensi yang terlibat, termasuk pihak kesihatan dan keselamatan.
Menurutnya, peniaga juga diingatkan agar tidak mengubah susun atur gerai yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada laluan orang ramai.
"Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di bazar Ramadan dan ini bagi memastikan keutamaan diberikan kepada peniaga tempatan serta mengekalkan keaslian produk yang dijual," ujarnya.
Tambah beliau, pada tahun ini, sebanyak 942 petak bazar Ramadan telah ditawarkan di 15 lokasi sekitar bandar raya Alor Setar dan Pokok Sena dengan peningkatan jumlah tapak berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, pemantauan rapi di semua lokasi ini akan dilakukan sepanjang tempoh perniagaan berlangsung.
“Kita mahu memastikan bazar Ramadan kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada peniaga dan pengunjung,” kata Abdul Gafar lagi.
Tambahnya, MBAS turut berharap semua pihak dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan agar penganjuran bazar tahun ini lebih tersusun dan berdaya saing, serta memberi imej positif kepada Alor Setar sebagai pusat perniagaan yang teratur dan bersih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

