Stesen TV perlu tapis tetamu

SHAH ALAM - Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan garis panduan lebih tegas berhubung etika pemakaian dalam acara atau aktiviti keramaian terutama yang mendapat liputan media arus perdana.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, garis panduan itu boleh merangkumi beberapa perkara antaranya penguatkuasaan terhadap penganjur.
Menurutnya, penganjur acara perlu bertanggungjawab memastikan peserta dan tetamu mematuhi etika pemakaian yang ditetapkan.
“Selain itu, kawalan kandungan penyiaran. Stesen televisyen dan pihak berkaitan boleh mengenakan tapisan terhadap penampilan tetamu sebelum bersiaran bagi mengelakkan perkara yang mencetuskan kontroversi.
“Pemakaian juga haruslah menepati norma agama dan budaya. Lelaki berpakaian seperti lelaki dan wanita berpakaian sopan sesuai dengan adat serta sensitiviti masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan lelaki Muslim berpakaian wanita di sebuah acara hiburan tidak sepatutnya berlaku.
Kenyataan Jakim itu dibuat ekoran tindakan beberapa lelaki berpakaian wanita di karpet merah acara hiburan televisyen tempatan pada Ahad malam yang mendapat kecaman orang ramai dan teguran pendakwah.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, bagi individu yang berpakaian tidak sesuai mengikut jantina, beberapa langkah boleh dipertimbangkan seperti mengenakan tindakan undang-undang jika perlu.
“Jika perbuatan itu melanggar undang-undang syariah negeri, pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada.
“Kesimpulannya, isu ini memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan kerajaan, institusi agama, media dan masyarakat untuk memastikan garis panduan jelas serta mendidik masyarakat ke arah kepatuhan terhadap norma agama dan budaya,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, garis panduan sebenarnya sudah lama ditetapkan oleh para ulama sama ada dalam atau luar negara.
“Masalah kita ialah penganjur langsung tidak merujuk kepada mufti atau pihak berkuasa agama sebelum program dianjurkan.
“Oleh sebab itu, nasihat saya, pihak penganjur perlu sensitif isu ini dan proaktif untuk merujuk pihak berkuasa agama sebelum program dianjurkan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

