Pendakwah kesal lelaki berpakaian wanita dalam program TV tempatan

SHAH ALAM - Pendakwah Bebas, PU Syed meluahkan rasa kesal terhadap penganjur sebuah program terkenal televisyen tempatan yang didakwa cuba menormalisasikan lelaki berpakaian wanita yang jelas melanggar hukum syarak.
Insiden berkenaan ditonjolkan menerusi acara 'karpet merah' majlis tersebut yang menyaksikan jemputan program dipercayai lelaki beragama Islam memperagakan pakaian wanita.
Berikutan itu beliau menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan terhadap individu dan penganjur terlibat.
"Ada kelompok manusia yang tak kenal baju orang lelaki atau perempuan. Tak kenal dia tu jantina lelaki ke perempuan... ini menormalisasikan dosa.
"Kenapa kita sekarang seronok nak menonjolkan diri dan kesesatan itu di hadapan manusia?
"Saya minta Jakim selaku pihak berwajib dalam negara kita untuk ambil tindakan kepada yang bertanggungjawab menganjurkan program tersebut dan tolong dakwa mereka ini," tegas beliau menerusi hantaran video di Facebook pada Isnin.
Beliau turut menyatakan bahawa perkara tersebut adalah dilaknat sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW.
Katanya, negara juga mempunyai undang-undang berkaitan yang boleh mendakwa mereka yang terlibat dengan perbuatan berkenaan.
"Perempuan berpakaian yang tidak senonoh atau berpakaian yang tidak sepatutnya bagi golongan lelaki dan perempuan yang merupakan bukan pakaian sebenar mereka, kita ada undang-undang yang boleh kita kuat kuasakan kepada mereka.
"Jakim jangan duduk diam dalam perkara ini. Jangan pandang benda ni perkara yang biasa tapi pandanglah perkara ini sebagai perkara yang sangat besar bagi masyarakat kita terutama bagi umat Islam.
"Dah la perbuatan tersebut perkara mungkar, dia buat lagi kemungkaran demi kemungkaran... betapa besarnya dosa kita apatah lagi yang ada tampuk kuasa yang boleh mencegah kemungkaran ini," katanya.
Dalam pada itu, Seksyen 28, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan orang lelaki yang memakai pakaian dan berlagak seperti perempuan di tempat awam atas tujuan tidak bermoral, sebagai suatu kesalahan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!