Jakim disaran tetap garis panduan berpakaian dalam acara umum

Laporan Sinar Harian mengenai PU Syed yang meluahkan rasa kesal terhadap penganjur sebuah program terkenal televisyen tempatan yang didakwa cuba menormalisasikan lelaki berpakaian wanita yang jelas melanggar hukum syarak. Gambar kecil: Ammar
Laporan Sinar Harian mengenai PU Syed yang meluahkan rasa kesal terhadap penganjur sebuah program terkenal televisyen tempatan yang didakwa cuba menormalisasikan lelaki berpakaian wanita yang jelas melanggar hukum syarak. Gambar kecil: Ammar
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyarankan agar pihak berkuasa agama khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti negeri mengeluarkan garis panduan lebih jelas mengenai etika berpakaian dalam acara umum bagi mengelakkan kekeliruan.

Timbalan Ketuanya, Ammar Izham berkata, ia susulan isu penampilan lelaki berpakaian seperti wanita di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) telah mencetuskan kegusaran ramai pihak.

"AJL39 sebagai acara hiburan utama negara perlu lebih sensitif terhadap norma budaya dan nilai agama masyarakat di Malaysia.

"Penampilan individu lelaki dalam busana wanita adalah satu tindakan yang tidak wajar ditonjolkan di platform nasional kerana boleh mencetuskan kekeliruan dan provokasi.

"Pihak penganjur, Media Prima Berhad (Media Prima) dan TV3 perlu bertanggungjawab dan menetapkan garis panduan berpakaian yang lebih beretika serta sesuai dengan norma masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tangkap layar kenyataan Pemuda Amanah Selangor pada Isnin.
Tangkap layar kenyataan Pemuda Amanah Selangor pada Isnin.

Sebelum ini, perbuatan beberapa lelaki yang berpakaian seperti wanita di karpet merah dalam sebuah acara hiburan televisyen tempatan mendapat kecaman orang ramai.

Susulan itu, pendakwah bebas, PU Syed meluahkan rasa kesal terhadap penganjur program berkenaan yang didakwa cuba menormalisasikan lelaki berpakaian wanita yang jelas melanggar hukum syarak.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, individu terlibat juga perlu tampil memberikan penjelasan dan mengambil tanggungjawab terhadap perbuatan yang mengundang kontroversi.

Artikel Berkaitan:

"Selebriti dan pempengaruh media sosial perlu lebih bertanggungjawab menunjukkan imej yang baik kerana menjadi rujukan utama generasi muda.

"Kebebasan ekspresi tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk melanggar nilai budaya dan norma masyarakat yang telah mana menjadi pegangan rakyat Malaysia.

"Industri hiburan harus berkembang secara beretika dan bermaruah tanpa perlu mengorbankan identiti serta jati diri negara," katanya.

Tambah Ammar, pihaknya akan terus memantau isu tersebut dan mendesak tindakan proaktif daripada pihak berkaitan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!