Penganjur acara hiburan perlu elak fesyen keterlaluan langgar budaya, prinsip Islam

Penganjur sebuah acara hiburan digesa menetapkan kod pakaian yang lebih ketat bagi mengelakkan kontroversi berhubung pemakaian penonton dan selebriti di acara karpet merah.
Penganjur sebuah acara hiburan digesa menetapkan kod pakaian yang lebih ketat bagi mengelakkan kontroversi berhubung pemakaian penonton dan selebriti di acara karpet merah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penganjur sebuah acara hiburan digesa menetapkan kod pakaian yang lebih ketat bagi mengelakkan kontroversi berhubung pemakaian penonton dan selebriti di acara karpet merah.

Pengerusi Biro Kesenian & Kebudayaan Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, gaya pemakaian lelaki yang mengenakan busana ala wanita dalam acara tersebut amat membimbangkan kerana ia bertentangan dengan nilai budaya Malaysia serta prinsip Islam.

"Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang jelas membezakan pakaian lelaki dan wanita. Namun, gaya pemakaian yang menyimpang daripada kebiasaan ini semakin menjadi perhatian, seolah-olah lebih menonjol berbanding penghargaan terhadap karya muzik itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mendakwa, pemakaian sedemikian bukan semata-mata ekspresi seni, sebaliknya lebih kepada usaha mencipta kontroversi serta menarik perhatian media dan netizen.

"Penganjur pertandingan nyanyian itu sepatutnya menjadi platform meraikan bakat dan karya muzik, tetapi kini perhatian lebih tertumpu kepada fesyen keterlaluan yang mencetuskan perdebatan.

"Pemakaian lelaki dengan gaya feminin ini sering dikaitkan dengan budaya hiburan barat yang semakin normal dalam industri fesyen antarabangsa. Jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh mempengaruhi generasi muda yang mudah terikut dengan nilai yang bercanggah dengan budaya Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak penganjur berkenaan untuk lebih tegas dalam menetapkan garis panduan berpakaian pada masa akan datang bagi mengelakkan imej acara berprestij itu terus tercalar.

"Penganjur perlu memastikan pakaian yang dipakai oleh selebriti mahupun penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Anwar turut mencadangkan agar Majlis Agama Islam memainkan peranan dalam menangani isu ini melalui peruntukan enakmen atau akta syariah serta fatwa yang sedia ada.

"Sensitiviti masyarakat harus dihormati agar pertandingan nyanyian terbesar seperti itu tidak kehilangan identiti dan relevansi dalam industri hiburan tanah air," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!