Akta Anti Diskriminasi Kaum tidak bermakna kalau tak hormat Perlembagaan Persekutuan - MP Tampin

KUALA LUMPUR - Penggubalan Akta Anti Diskriminasi Kaum yang diminta oleh ahli Parlimen kerajaan tidak akan bermakna sekiranya masih wujud pihak yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata, sebarang matlamat untuk mewujudkan akta berkaitan dengan anti diskriminasi tidak akan tercapai sekiranya Islam sebagai agama persekutuan tidak dihormati.
"Apa gunanya penggubalan Akta Anti Diskriminasi Kaum sekiranya kamu sendiri gagal untuk menghormati dan mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan?
"Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu serta Islam sebagai agama persekutuan," katanya di Dewan Rakyat membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memberitahu Dewan Rakyat, tiada keperluan untuk kerajaan menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum ketika ini.
Katanya, memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada untuk memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
Dalam pada itu, Mohd Isam memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri kerana membuat keputusan tepat dengan menolak cadangan untuk mewujudkan seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam.
Namun, Mohd Isam menegaskan, masih terdapat keperluan untuk mewujudkan garis panduan tertentu bagi memastikan akidah umat Islam terpelihara.
"Sememangnya ada keperluan besar jika tidak untuk diri saya mungkin juga diperlukan oleh pegawai saya untuk membuat susun atur dan sebagainya.
"Saya bukan mahu memandang rendah tentang akidah umat Islam di negara ini, namun pada pendapat saya, menerusi garis panduan tersebut kefahaman umat Islam mengenai agama lain akan lebih jelas dan memperkukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!