Isu penjaja rasis: Mohd Na'im nasihat hormati sensitiviti etnik, agama

Mohd Na'im (kiri), Tangkap layar video tular mengenai tindakan seorang penjaja meletakkan notis berunsur perkauman di mejanya.
Mohd Na'im (kiri), Tangkap layar video tular mengenai tindakan seorang penjaja meletakkan notis berunsur perkauman di mejanya.
A
A
A

KLANG - Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati sensitiviti kepelbagaian etnik dan agama masyarakat di negara ini dan mengelakkan perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan sesuatu kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, nasihat itu berikutan isu tular di media sosial memaparkan tindakan seorang penjaja yang menjual jagung bakar meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja.

"Saya sudah banyak kali sebut bahawa kita perlu berhati-hati dalam setiap perkataan, perbuatan dan sensitiviti kaum lain.

"Nama pun sensitif, jadi masyarakat perlu berhati-hati dengan apa sahaja perkataan atau perbuatan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum lain.

"Jadi hormat-menghormati itu sangat diperlukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Muhibah Madani Tahun Baru Cina 2025 di Dewan Persatuan Hokkien di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin serta tetamu lain.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial yang menunjukkan tindakan seorang penjaja tepi jalan meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Menerusi video berkenaan, penjaja tersebut meletakkan notis 'Maaf, ini jagung tiada jual sama orang keling' sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat India di negara ini susulan perkataan 'keling' merupakan istilah yang menghina kaum terbabit.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku di Kota Warisan, Sepang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!