'Pemimpin politik bukan Islam kena lebih berhati-hati' - Pemenang

GEORGETOWN - Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa semua ahli politik agar tidak mempermainkan isu agama demi kepentingan politik.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, ini kerana tindakan itu hanya akan mencetuskan polemik dan menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.
"Kita berharap agar semua ahli politik tidak menjadikan isu agama untuk kepentingan politik masing-masing.
"Pemenang juga meminta semua pemimpin politik bukan Islam supaya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang cadangan berkaitan agama Islam bagi menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Yussof berkata, Pemenang menyokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak cadangan mewujudkan jawatan Menteri Agama Hal Ehwal Bukan Islam.
Menurutnya, pendirian tegas Anwar membuktikan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dalam hal yang menyentuh kedudukan agama Islam di negara ini.
Beliau berkata, kenyataan Anwar itu juga berjaya meredakan kemarahan umat Islam berhubung polemik yang timbul berkaitan cadangan pengenalan garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis perayaan dan upacara kematian orang selain Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
"Kenyataan Anwar itu sekali gus dapat memadam kemarahan umat Islam terhadap pihak tertentu yang mempertikaikan bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bercadang memperkenalkan garis panduan tersebut.
"Garis panduan itu hanya bertujuan memberi pemahaman kepada umat Islam tentang batas-batas hukum syarak, memandangkan masih ada yang keliru atau kurang memahami peraturan dalam perkara itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, Menteri Hal Ehwal Agama Islam bertanggungjawab menyelesaikan kekeliruan umat Islam mengenai sesuatu hukum atau fatwa.
“Kemungkinan masih ramai rakyat yang tidak sedar bahawa mana-mana parti yang membentuk kerajaan tetap mempunyai kewajipan memelihara syiar Islam, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yussof berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Islam merupakan tunjang utama dalam negara ini dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kedudukannya.
Baru-baru ini, Anwar menolak cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu untuk Islam dan bukan Islam.
Anwar kemudian menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan sedia ada sudah mempunyai Menteri Agama, Menteri Perpaduan serta jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum dan agama di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

