Siasat punca beras putih tempatan 'hilang'

SEBAGAI anak petani, penulis tumpang gembira dengan pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang berkuat kuasa serta-merta mulai Ahad lalu.
Begitu juga pengumuman, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keprihatinan tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari menyumbangkan RM30 juta kepada kerajaan bagi membantu petani miskin.
Tambahan pula perbincangan bagi membolehkan penyedia perkhidmatan pembajakan, pengangkutan dan peralatan pertanian lyang menggunakan diesel mendapat subsidi sedang diusahakan dengan serius oleh kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan bertujuan memastikan bantuan diesel dapat disalurkan kepada golongan sasar bagi mengurangkan kos pembajakan serta meringankan beban pesawah.
Selain itu kerajaan juga mengumumkan harga beras putih tempatan (BPT) dikekalkan pada kadar RM2.60 per kilogram (kg) untuk memastikan bekalan beras tempatan stabil di pasaran.
Langkah ini melibatkan peruntukan kira-kira RM150 juta untuk tempoh enam bulan, bertujuan menyerap sebahagian kos pengeluaran dan memastikan keberadaan 24 juta kampit 10kg BPT di pasaran.
Keputusan ini diambil kerajaan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun, dan sebagainya, serta impak terhadap kos pengeluaran beras.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, percaya bahawa langkah-langkah kerajaan ini bakal menyelesaikan isu misteri kehilangan BPT di pasaran tempatan.
Menurut beliau, semua langkah berkenaan menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk membantu rakyat secara menyeluruh termasuk rantaian industri padi daripada pesawah, pengilang, pemborong hinggalah kepada peruncit.
Namun apa yang lebih mengejutkan ialah pengakuan Syed Abu Hussin mengenai punca sebenar kehilangan BPT di pasaran tempatan.
Menurutnya, masalah berkenaan berpunca daripada beras tempatan dibungkuskan dan dijual sebagai beras import dengan harga bermula RM40 bagi setiap 10 kilogram kepada pengguna.
Pendedahan Syed Abu Hussin ini bukanlah perkara baharu kerana Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, telah mendedahkan perkara yang sama pada tahun lalu.
Namun, apa yang mengecewakan adalah sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan tegas diambil terhadap pengilang atau pemborong beras tempatan mahupun import yang didakwa terlibat.
Adakah kartel beras ini kebal di sisi undang-undang, atau adakah pihak berkuasa seperti Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) gagal mengesan mereka?
Oleh itu, sebagai pengguna, penulis berpendapat sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung kemungkinan unsur rasuah, penyelewengan, dan penyalahgunaan kuasa dalam kes kehilangan BPT di pasaran tempatan.
Langkah ini perlu diambil sebagai bukti bahawa kerajaan benar-benar serius menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan penyelewengan, sama ada melibatkan 'ikan bilis' atau 'jerung', seperti yang pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Kegagalan kerajaan dalam menangani isu misteri kehilangan BPT ini juga akan menjejaskan imej Perdana Menteri yang mementingkan tadbir urus dan tata kelola yang terbaik dalam pentadbirannya.
Jika misteri kehilangan BPT ini gagal diselesaikan, tidak mustahil ia akan menjadi bahan kempen utama untuk menolak parti pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
*Mohd Faizul Haika Mat Khazi ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!