AS bersiap mahu serang Iran

Donald Trump - Foto: AFP
Donald Trump - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Ahad berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan laporan berterusan mengenai tindakan keras berdarah pentadbiran Teheran terhadap gelombang protes besar-besaran anti-kerajaan di negara itu.

Trump berkata demikian ketika ditanya wartawan di atas pesawat Air Force One sama ada Iran telah melampaui garis merah yang pernah ditetapkannya sebelum ini, iaitu pembunuhan terhadap penunjuk perasaan awam.

“Mereka nampaknya sudah mula berbuat demikian,” kata Trump, merujuk kepada laporan kematian dalam kalangan peserta protes.

Menurutnya, Washington memandang serius perkembangan tersebut dan tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk tindakan ketenteraan.

“Kami sedang meneliti perkara ini dengan sangat serius. Pihak tentera sedang menilai situasi, dan kami sedang mempertimbangkan beberapa pilihan yang sangat tegas. Keputusan akan dibuat,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika tekanan antarabangsa terhadap Iran semakin meningkat berikutan laporan mengenai korban nyawa, penahanan besar-besaran serta gangguan internet ketika pihak berkuasa cuba menyekat kebangkitan rakyat yang tercetus sejak akhir tahun lalu.

Setakat ini, Rumah Putih belum mengumumkan sebarang keputusan muktamad, namun pendirian Trump mencerminkan kemungkinan perubahan drastik dasar Amerika Syarikat terhadap Iran sekiranya keganasan terhadap orang awam berterusan. – AFP

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sedang meneliti kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran
  • Ini susulan laporan berterusan mengenai tindakan keras berdarah pentadbiran Teheran terhadap protes anti-kerajaan
  • Trump mengatakan Iran mungkin sudah melampaui garis merah dengan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan
  • Washington memandang serius perkembangan ini dan tidak menolak kemungkinan termasuk tindakan ketenteraan
  • Tekanan antarabangsa terhadap Iran meningkat berikutan laporan korban nyawa, penahanan besar-besaran dan gangguan internet

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!