Kedah diminta tampil inisiatif lebih baik bantu pesawah

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah diminta mengambil tanggungjawab dengan lebih serius dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan bagi memastikan masa depan sektor pertanian di Kedah terus cerah serta mampan.
Pengarah Biro Tani Kami Anak Kedah, Firdaus Shater berkata, sebagai sebuah negeri yang mempunyai kuasa autonomi tertentu, Kedah perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga kebajikan pesawah dan meningkatkan hasil padi negeri ini.
Menurutnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga perlu tampil dengan cadangan dan inisiatif lebih baik untuk membantu pesawah di negeri ini.
“Exco Pertanian negeri juga perlu menyusun strategi dan perancangan yang lebih berkesan untuk memajukan sektor pertanian di Kedah, selari dengan usaha kerajaan persekutuan.
"Agak menyedihkan sekiranya Kerajaan Kedah hanya berpeluk tubuh menunggu Kerajaan Persekutuan melakukan segala-galanya.
“Hampir lima tahun memerintah Kedah, pesawah sepatutnya sudah menerima pelbagai manfaat dan insentif daripada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa harga lantai belian padi sepatutnya ditetapkan pada RM1,600 berbanding RM1,500 seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
Menurut Muhammad Sanusi, harga lantai belian padi yang baharu itu masih berada pada bawah kos input terpaksa ditanggung pesawah kerana tidak seimbang dengan kos yang terpaksa ditanggung, susulan kenaikan harga input pertanian sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut mengenainya Firdaus berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa pembentangan di Dewan Rakyat telah menjelaskan bahawa kementerian sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk memperkenalkan fleet card khas diesel bagi pesawah, petani dan peladang kecil.
Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi membantu golongan tersebut menyerap kos bahan api diesel dan langkah-langkah ini berada dalam perancangan dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pesawah mendapat hasil yang maksimum.
“Jika Kedah benar-benar sebuah negeri ‘kaya’ dan hebat seperti yang sering dilaungkan Menteri Besar Kedah, maka kebajikan pesawah seharusnya sudah lama terbela, infrastruktur pengairan yang menjadi nadi utama industri ini juga sepatutnya sudah setanding dengan negara maju.
“Atau selama ini, kerajaan negeri hanya bergantung kepada projek serta inisiatif Kerajaan Persekutuan semata-mata.
“Sebagai pemimpin negeri, Datuk Seri Sanusi perlu mempunyai hala tuju yang jelas serta melaksanakan strategi yang benar-benar membuahkan hasil,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!