Tukang besi dipenjara 7 tahun dan 2 sebatan, menyesal tetak penganggur

JOHOR BAHRU - "Saya betul-betul menyesal, ketika buat saya tidak sedar sebab mabuk."
Itu reaksi seorang tukang besi yang dihukum penjara selama tujuh tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menetak seorang penganggur menggunakan pisau pemotong daging hingga mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim, Thalha Bachok @ Embok Mok setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 43 tahun menggunakan sebilah pisau pemotong daging berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum, kira-kira pukul 2.24 petang pada 11 Februari lalu,
Menurut fakta kes, ketika kejadian mangsa sedang minum di kawasan tersebut sebelum tertuduh bertindak menendang motosikal milik orang awam
Mangsa yang menyaksikan kejadian itu menegur tindakan tertuduh, menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Tertuduh kemudian beredar dari lokasi kejadian tetapi kembali tidak lama selepas itu dengan membawa sebilah pisau pemotong daging sebelum menyerang mangsa dan menetak kepalanya beberapa kali.
Mangsa cuba mempertahankan diri tetapi akhirnya rebah berlumuran darah dan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), bagi mendapatkan rawatan.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, serta boleh dikenakan denda dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman ringan, dengan alasan menyesal atas perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu kemudiannya memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.
Beliau menegaskan hukuman penjara perlu dikenakan sebagai pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dihukum penjara selama tujuh tahun dan dua sebatan, berkuat kuasa dari tarikh tangkap, iaitu 11 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!