Suspek kes tetak guna senjata tajam direman tujuh hari

JOHOR BAHRU - Suspek yang menetak seorang lelaki dengan senjata tajam dalam pergaduhan berhampiran Merlin Tower Jalan Meldrum, di sini pada Selasa ditahan reman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 Februari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Alyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Perintah tahanan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden pergaduhan berhampiran Merlin Tower Jalan Meldrum, disini kira-kira jam 2.29 petang pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun dan tidak bekerja telah mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditetak dengan senjata tajam oleh suspek.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati punca kejadian disyaki akibat pergaduhan mulut antara dua pihak yang berada di bawah pengaruh alkohol.
Ujarnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan manakala suspek ditahan di lokasi kejadian bersama senjata iaitu pisau pemotong daging.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkait kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Ujarnya, mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, katanya, semakan lanjut mendapati kedua-duanya tidak dikehendaki polis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

