Tukang besi tetak penganggur didakwa Isnin

Seorang tukang besi yang terlibat dalam insiden pergaduhan dan menetak seorang lelaki lain di pusat bandar raya ini pada minggu lalu, akan didakwa pada Isnin. - Gambar hiasan
Seorang tukang besi yang terlibat dalam insiden pergaduhan dan menetak seorang lelaki lain di pusat bandar raya ini pada minggu lalu, akan didakwa pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang tukang besi yang terlibat dalam insiden pergaduhan dan menetak seorang lelaki lain pada minggu lalu, akan didakwa pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

"Pada 14 Februari lalu, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor dan kita memperoleh arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu beralamat di Batu Caves, Selangor dan mempunyai lapan rekod lampau.

Sebelum itu, dua individu yang terlibat dengan pergaduhan bersenjata di Jalan Wong Ah Fook pada Selasa disahkan berada di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian berkenaan tular di media sosial yang mana suspek dalam kejadian itu berjaya ditangkap di lokasi kejadian sebelum direman tujuh hari sehingga Selasa.

Raub dilaporkan berkata, mangsa dan suspek ketika kejadian tetak itu berada dalam keadaan mabuk.

Katanya, kedua-dua mereka saling tidak mengenali dan sedang meminum minuman keras di kawasan lokasi kejadian sebelum dilaporkan bergaduh mulut hingga membawa kepada kejadian tetak itu.

Artikel Berkaitan:

Mangsa adalah penganggur warga tempatan berusia 43 tahun dan akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam.

Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu.

Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methaphetamine.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!