Penantian 20 tahun berakhir, suami isteri timang cahaya mata pertama

Norazlina dan Ahmad Zaidi bersama cahaya mata sulung mereka yang kelahirannya ditunggu sejak 20 tahun lalu.
Norazlina dan Ahmad Zaidi bersama cahaya mata sulung mereka yang kelahirannya ditunggu sejak 20 tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Penantian selama 20 tahun pasangan peniaga kedai makan untuk mendapatkan zuriat sulung berakhir apabila si isteri selamat bersalin bayi lelaki pada usia 42 tahun.

Bayi Norazlina Ab Rahim dan suaminya, Ahmad Zaidi Abd Ghani, 45, yang seberat 2.57 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan di sebuah hospital pakar di Kuala Terengganu tepat jam 9.36 pagi pada Rabu lalu.

Norazlina berkata, kehadiran zuriatnya masih lagi dirasakan bagai mimpi walaupun selepas empat hari selamat melahirkan kerana dia mengetahui dirinya berbadan dua setelah hampir dua tahun berhenti melakukan rawatan untuk hamil dan sudah reda dengan segala ketentuan ALLAH SWT.

“Sampai hari ini saya masih tidak percaya yang saya dan suami akhirnya dapat timang cahaya mata lebih-lebih lagi apabila sudah bermacam-macam ikhtiar dibuat untuk hamil.

“Doktor juga ada cakap mungkin kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sahaja ‘jalan’ untuk saya mengandung. Tapi untuk buat IVF pun ia perlukan komitmen yang tinggi. Itu yang buat saya ambil masa lama fikir sebelum tiba-tiba dapat tahu saya mengandung,” katanya kepada Sinar Harian.

Cahaya mata sulung Norazlina dan Ahmad Zaidi dilahirkan tepat jam 9.36 pagi pada Rabu lalu.
Cahaya mata sulung Norazlina dan Ahmad Zaidi dilahirkan tepat jam 9.36 pagi pada Rabu lalu.

Norazlina yang mengusahakan kedai laksa sarang di Tok Jembal, Kuala Nerus mengetahui dirinya hamil selepas melakukan ujian kendiri kehamilan secara tidak sengaja kerana dia ketika itu tidak sihat.

Fasa kehamilannya juga sangat membahagiakan kerana Norazlina tidak mengalami sebarang alahan, seolah-olah seperti tidak mengandung bahkan setiap hari boleh memasak dan menjaga ibunya yang tidak sihat di hospital.

Artikel Berkaitan:

Kata Norazlina, walaupun hampir putus asa, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini juga dia mengamalkan meminum air zamzam dengan kerap.

“Alhamdulillah saya diizinkan ALLAH tunaikan ibadah umrah pada 2023 dan 2024, jadi saya memang amal minum air zamzam sepanjang berada di Tanah Suci. Air zamzam yang saya bawa balik pun, saya minum habis dengan niat agar khasiat yang ALLAH beri dapat sihatkan badan dan suburkan rahim untuk hamil.

“Sepanjang musafir saya panjatkan doa tanpa putus terutamanya di tempat-tempat mustajab doa di Tanah Suci. Saya juga minta jemaah lain doakan sama. Kali terakhir saya balik umrah pada Februari 2024 dan Mei tahun sama saya mengandung. Alhamdulillah,” ujarnya.

Ditanya mengenai nama anak pula, Norazlina memaklumkan, dia dan suami memutuskan untuk menamakan anak mereka Ahmad Abdullah Yunus mengambil kira maksud indah nama tersebit dalam Islam.

"Saya ada dengar ceramah penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus bahawa nama Abdullah nama yang paling disukai atau disayangi ALLAH yang bermaksud hamba kepada ALLAH. Yunus pula nama salah seorang nabi. Kami semua panggil bayi dengan nama Yunus," tambahnya.

Norazlina turut berkongsi berita gembira dan rasa syukur atas kelahiran cahaya matanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis lalu.

“Penantian 20 tahun berakhir jua. Alhamdulillah, suka untuk saya berkongsi di sini dengan sahabat-sahabat semua kesyukuran dan kegembiraan menerima kehadiran orang baharu dalam hidup kami.

“Permata hati yang ditunggu-tunggu sekian lama. Ibu dan bayi selamat serta sihat tanpa sebarang komplikasi,” tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!