Suspek kes bunuh peniaga kedai penyaman udara ditahan

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan untuk siasatan lanjut kes seorang peniaga penyaman udara yang ditemui mati dipercayai dibunuh dalam sebuah premis kedai di Bukit Sekilau di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 29 tahun yang juga kenalan mangsa itu ditahan di lokasi kejadian jam 8.30 malam hari yang sama.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 11 Februari depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Penemuan mayat mangsa berusia 38 tahun dalam premis kedai yang disewa dimaklumkan kepada polis oleh ibunya jam 3 petang.
"Susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis termasuk dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ke lokasi untuk siasatan," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian dan pemeriksaan ke atas tubuh mengsa mendapati kematian lelaki itu wujud unsur jenayah.
"Bertindak atas siasatan awal, polis berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Wan Zahari meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu hingga menganggu siasatan polis.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

