Pengembalian semula PSA: Transformasi kukuhkan Parlimen

Abdul Hakim
Abdul Hakim
A
A
A

SHAH ALAM - Mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bukan sekadar satu reformasi tetapi sebuah transformasi dalam mengukuhkan peranan Parlimen sebagai nadi demokrasi negara.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, Parlimen negara perlu berdiri dengan kekuatan sendiri tanpa terpengaruh dan bergantung kepada pihak eksekutif.

Menurutnya, hanya dengan struktur yang bebas proses legislatif boleh berjalan secara adil, berprinsip dan mencerminkan kepentingan rakyat, bukan berpihak kepada kerajaan semata-mata.

“PSA tidak termaktub dari sudut undang-undang tetapi bertindak sebagai benteng integriti.

"Dengan autonomi Parlimen, sebarang keputusan tidak lagi bergantung kepada budi bicara eksekutif sekali gus mengurangkan risiko manipulasi dan rasuah.

“Transformasi ini bukan jaminan mutlak tetapi ia satu permulaan kritikal untuk menutup ruang penyalahgunaan kuasa,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Idzuafi Hadi Kamilan yang menyatakan pengembalian semula PSA merupakan ‘ibu’ kepada reformasi Parlimen.

Katanya menerusi program Interviu Sinar Harian, empat fungsi Parlimen iaitu menggubal, memansuh dan meminda undang-undang, menyemak urusan kerajaan, meluluskan belanjawan dan membincang urusan rakyat akan jadi lebih berkesan dengan pengembalian semula akta berkenaan.

Mengikut Kamus Dewan, reformasi merujuk kepada perubahan atau pembaharuan yang bersifat perbaikan atau penambahbaikan terhadap sesuatu sistem, undang-undang atau struktur sedia ada manakala transformasi pula bermaksud perubahan lebih mendalam, radikal dan menyeluruh di mana sesuatu sistem atau struktur diubah untuk mencapai kemajuan lebih besar.

Justeru, Abdul Hakim menyarankan untuk melibatkan masyarakat sivil bagi menilai keberkesanan PSA melalui dialog dan maklum balas terbuka selain turut memantau pelaksanaannya agar tidak disalahgunakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menekankan agar kewangan Parlimen diaudit secara terbuka agar tidak berlaku sebarang ketirisan atau kepentingan tersembunyi.

“Akta tanpa integriti, ibarat pedang tanpa mata, etika dan kod tingkah laku ahli Parlimen perlu diperketatkan agar kebebasan yang diberi tidak disalah guna.

“PSA bukan tiket untuk kuasa mutlak tetapi peluang untuk memperkukuh demokrasi.

"Jika dikembalikan dengan penuh tanggungjawab, Parlimen bukan sekadar bebas tetapi lebih dipercayai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!