Penjawat awam selesa jadi cabaran pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen

SHAH ALAM - Cabaran dalam pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) adalah penjawat awam di Parlimen sudah selesa dengan sistem sedia yang menawarkan pelbagai kemudahan untuk dinikmati sebelum ini, kata Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Beliau berkata, pengembalian PSA mungkin boleh mengganggu mereka menikmati perkembangan kerjaya dengan peluang kenaikan pangkat serta pertukaran ke jabatan lain.
Menurutnya, pengembalian akta tersebut membolehkan Parlimen mempunyai autoriti merekrut kakitangan sendiri dan menyemak skema gaji agar selaras dengan perkhidmatan awam sedia ada.
“Objektif ini adalah untuk menarik individu yang berkualiti untuk bekerja di Parlimen. Bagaimanapun, saya faham sesuatu perubahan tidak boleh dilaksanakan secara drastik memandangkan penjawat awam juga adalah ‘enjin’ untuk memastikan Parlimen itu bergerak.
“Disebabkan itu, jika tahun ini PSA dapat dilaksanakan, saya berpendapat ia tidaklah melibatkan semua penjawat awam dan perbincangan teliti dengan Perdana Menteri perlu dilakukan bagi mendapatkan situasi menang-menang antara kedua pihak,” katanya ketika program Interviu yang dihoskan oleh Haizir Othman di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai PSA yang masih belum dilaksanakan meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan ia telah siap 90 peratus dan sedang menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tambah Faisal, Parlimen pada hari ini sudah menunjukkan keterbukaan terhadap perubahan dengan PSA menjadi salah satu matlamat utama untuk memperbaiki fungsi dan peranannya.
“Cuma masalah yang dihadapi melibatkan isu bajet di mana ahli Parlimen tidak diberikan kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan sesuatu kajian lebih mendalam.
“Masalah kewangan ini juga menyebabkan mereka sukar untuk membawa pakar atau melaksanakan perbincangan berkualiti,” katanya.
Tegasnya, akta itu perlu memberikan autonomi kewangan kepada Parlimen dengan memastikan ia tidak lagi tertakluk di bawah Pejabat Perdana Menteri, sebalik di bawah Perbendaharaan Negara.
Beliau turut menekankan, kakitangan Parlimen perlu diingatkan untuk melaksanakan tugas secara adil kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira perbezaan parti politik dan bukan hanya memfokuskan kepada kepentingan kerajaan semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!