Prosiding isu premium insurans kesihatan, caj hospital swasta ambil masa panjang - PAC

Mas Ermieyati bersama Tze Tzin, Ku Abd Rahman dan Ali Biju menghadiri Sesi Pendengaran Awam PAC berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam.
Mas Ermieyati bersama Tze Tzin, Ku Abd Rahman dan Ali Biju menghadiri Sesi Pendengaran Awam PAC berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam.
A
A
A

GEORGE TOWN - Prosiding berhubung isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta akan mengambil masa yang panjang sebelum satu laporan komprehensif dihasilkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tiada jangka masa untuk prosiding itu disiapkan, namun ia dijangka mengambil masa panjang kerana ia akan melibatkan banyak pihak.

Beliau berkata, antara pihak yang terbabit dalam proses ialah kerajaan, pihak swasta dan rakyat yang mempunyai latar belakang tertentu.

Mas Ermieyati.
Mas Ermieyati.

"Dalam PAC, kita boleh buat banyak jangkaan sebab banyak yang akan berlaku. Bila kita sudah panggil prosiding, kadang-kadang kita jangkakan perkara itu mungkin akan berlaku sekejap tetapi tidak.

"Ia akan berlaku dalam tempoh yang panjang, kerana dalam prosiding, ada banyak perkara baru yang akan timbul dan sebab itu saya hanya berpandangan kasar, 'on surface' saja bahawa ia (prosiding) akan mengambil masa yang panjang.

"Ini kerana, banyak pihak yang akan terlibat dan dipanggil sebab kita mahu buat satu laporan yang komprehensif, bukan hanya laporan suka-suka. Kita tidak mahu orang mempertikaikan laporan yang dikeluarkan oleh PAC," katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau menghadiri Sesi Pendengaran Awam PAC berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam diadakan di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul di sini.

Artikel Berkaitan:

Seramai 100 orang awam daripada pelbagai latar belakang hadir ke sesi tersebut.

Turut hadir ahli PAC, Sim Tze Tzin selaku pengantara majlis (PH-Bayan Baru), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) dan Datuk Ali Biju (PN-Saratok).

Seramai 100 orang awam daripada pelbagai latar belakang hadir ke sesi tersebut.
Seramai 100 orang awam daripada pelbagai latar belakang hadir ke sesi tersebut.

Pada Disember lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.

Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, sesi pendengaran di negeri ini merupakan sesi pertama diadakan yang mana, sesi kedua akan diadakan di Parlimen pada 21 Februari.

"Ini adalah kali pertama pendengaran awam diadakan di bawah PAC di Pulau Pinang untuk membincangkan isu yang sangat menghimpit rakyat iaitu berkenaan caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan negara.

"Banyak dapatan, pandangan serta cadangan baik diberikan. PAC akan menimbang yang mana boleh kita gunakan dalam membantu prosiding yang akan kita mulakan nanti.

"Saya harap ia tidak akan berhenti di sini, semua mahu yang terbaik, terutamanya sekali melibatkan isu kesihatan awam negara.

"Banyak perkara yang perlu dilihat dan penglibatan daripada semua pihak. Ini bukan soal satu pihak tetapi banyak rantaian," katanya.

Sementara itu, Tze Tzin berkata, dalam sesi pendengaran tersebut, perkara yang paling menggusarkan rakyat adalah peningkatan bayaran insurans.

Menurutnya, rakyat mengharapkan insurans membantu mereka membayar bil hospital swasta, namun pengumuman yang dibuat BNM telah membimbangkan mereka.

"Sebenarnya lebih 50 peratus populasi di Malaysia, ada insuran kesihatan. Amat mengejutkan rakyat daripada B40 walau pun susah, mereka pun beli insurans.

"Ini bermaksud, isu ini melibatkan semua peringkat pendapatan rakyat, daripada T20 sampai ke B40 memerlukan satu penyelesaian kepada kenaikan harga insurans dan hospital swasta,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!