Bayi ditinggal di perhentian bas, polis tahan ibu di hospital swasta

GEORGE TOWN - Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di sebuah perhentian bas di Jalan Perak, Pulau Tikus, di sini, pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan bayi tersebut kira-kira jam 10.14 pagi.
Menurutnya, bayi berkenaan ditemui di dalam sebuah beg kertas dan ditinggalkan di perhentian bas berkenaan.
"Siasatan pihak polis mendapati bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan telah ditinggalkan oleh suspek disyaki ibu bayi pada jam lebih kurang jam 8.03 pagi di tempat kejadian.
"Hasil tindakan pantas polis, suspek seorang perempuan warga tempatan berumur 20 tahun dipercayai ibu kepada bayi tersebut telah berjaya ditangkap di sebuah hospital swasta kira-kira jam 2.20 petang tadi," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.

Abdul Rozak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Dengan tertangkapnya suspek yang bertanggungjawab dengan kes ini, maka kes ini berjaya diselesaikan.
"Pihak polis ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang prihatin dan membantu dalam siasatan kes ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
