[VIDEO] Isu premium insurans jadi sesi pendengaran awam pertama PAC
KUALA LUMPUR - Prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan dan Takaful, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan sesi pendengaran awam pertama dilaksanakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sesi yang akan berlangsung di dua lokasi dan tarikh berbeza itu akan turut disertai oleh kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Ini adalah kali pertama dan tidak pernah dibuat pendengaran awam. Jadi apa sahaja maklum balas yang kita dapat dalam pendengaran ini akan dimasukkan dalam sebahagian daripada laporan PAC dan dijadikan sebagai rujukan.
“Sesi pendengaran awam ini akan dikendalikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai moderator. Sejak pendaftaran sesi ini dibuka minggu lalu, seramai 243 responden telah mendaftar,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Rabu.
PAC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sesi pertama akan diadakan di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul Pulau Pinang pada 9 pagi hingga 12 tengah hari, 14 Februari manakala sesi kedua dijadualkan berlangsung di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia di ibu negara pada 9 pagi hingga 12 tengah hari, 21 Februari ini.
Jawatankuasa itu menjelaskan ia diadakan susulan aduan rakyat mengenai kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta, premium insurans dan impaknya kepada sistem kesihatan awam.
Sementara itu, Tze Tzin berkata, pendengaran awam itu dibuat susulan isu berkenaan mendapat reaksi meluas masyarakat.
Keadaan itu katanya, memberi cetusan kepada PAC untuk melaksanakan prosiding berkenaan, sekali gus merealisasikan hasrat untuk mendekatkan rakyat dengan Parlimen.
“Selepas ini mereka yang sering membuat aduan di media sosial boleh tampil ke depan untuk ceritakan sendiri dan sesi pendengaran awam ini terbuka kepada semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

