Pupuk budaya keusahawanan Islam, perkasa pengeluaran produk halal

KUALA LUMPUR - Budaya keusahawanan Islam perlu dipupuk menerusi pelaksanaan aktiviti dan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu bagi memperkasakan umat Islam dalam sektor ekonomi terutama melibatkan industri pengeluaran produk halal.
Ujar beliau, dalam usaha tersebut, Pertubuhan Jaringan Ikatan Ummah (Jitu) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengadakan kerjasama strategik bagi menganjurkan pelbagai seminar keusahawanan untuk komuniti masyarakat Islam di negara ini.
"Selain menjadikan masyarakat Islam sebagai bangsa usahawan, ia setidaknya memenuhi fardu kifayah dalam mengilang dan mengeluarkan barangan produk halal seperti makanan, kosmetik dan perkhidmatan.
"Daripada 50 individu terkaya Malaysia dalam senarai Forbes 2024, hanya tiga usahawan Islam tersenarai iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim.
"Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar sana tetapi NGO yang mempunyai perjuangan tertentu ini perlu ada supaya umat Islam tidak tertinggal (dalam keusahawanan), itu penting," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Jitu Kali Pertama di Menara Dato Onn’, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Hadir sama, Presiden Jitu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Timbalan Presiden Jitu, Datuk Zubir Embong.
Mesyuarat Agung NGO itu berlangsung selama satu jam melibatkan lebih 500 ahli daripada sembilan cawangan negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang.
Pahang dijangka menjadi negeri seterusnya yang akan mendaftarkan cawangan pertubuhan tersebut dalam masa terdekat.
Pertubuhan berkenaan telah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 16 Januari tahun lalu.
Menurut Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, NGO juga digalakkan untuk menggunakan media sosial dan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) bagi menarik lebih ramai penglibatan masyarakat Islam dalam aktiviti keusahawan.
"Pendekatan penggunaan teknologi itu juga diharap dapat menyumbang kepada transformasi aktviti keusahawanan dan menyebar luar maklumat NGO kepada orang ramai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!