KTMB tekad perangi rasuah dalam kalangan pengurusan tertinggi

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tekad memerangi rasuah dalam kalangan pengurusan tertinggi bersama Rasuah Busters menerusi Seminar Tatakelola dan Anti-Rasuah (STAR) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, seminar itu merupakan salah satu inisiatif pihaknya yang julung kali dilaksana melibatkan kepimpinan tertinggi termasuk ahli lembaga pengarah.
"Sebenarnya program seperti ini kita sudah jalankan sejak dua tahun lepas tetapi hanya merangkumi di wilayah sahaja dan tidak melibatkan ibu pejabat. Program hari ini agak berbeza yang mana kita adakan juga ikrar bebas rasuah.
"Malah, ini julung kali kita adakan program melibatkan pengurusan tertinggi, pihak atasan termasuk saya dan ahli lembaga pengarah yang lain. Penyertaan amat menggalakkan dan diluar jangkaan saya sebenarnya, ini suatu pendekatan positif.
"Kami selalu berusaha untuk memberikan kesedaran terutamanya terhadap kakitangan KTMB kerana melalui kesedaran, kita dapat tangani masalah dengan lebih baik dan dalam masa sama, objektif integriti tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Tatakelola & Anti-Rasuah (STAR) 2025 dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kepimpinan Tertinggi KTMB di Hotel AnCasa di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Persatuan Integriti dan Tadbir Urus Malaysia (MIG), Datuk Seri Dr Akhbar Satar serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin sebagai panel manakala Ketua Integriti dan Governans KTMB, Ahmad Syamil Ahmad Shuhaimi sebagai moderator.
Dalam program sama juga, Grup Buku karangkraf turut mengadakan jualan buku berkaitan pengurusan, motivasi termasuk al-Quran.
Mengulas lanjut, Mohd Rani Hisham berkata, perkhidmatan tren yang sering berhadapan dengan pelanggan dan kumpulan masyarakat yang ramai memerlukan kakitangan KTMB mempunyai disiplin serta nilai integriti tinggi.
"Setiap individu pelanggan kita, jadi ia sering melibatkan emosi. Integriti bukan saja rasuah atau menerima apa-apa suapan, tetapi termasuk juga penyalahgunaan kuasa yang mungkin tidak mengikut prosedur atau tatakelola yang betul.
"Pelbagai inisiatif telah diambil seperti polisi tidak menerima hadiah, 'whistleblowing' dan beberapa aktiviti berkaitan antirasuah yang mana momentum ini telah dibina sejak dua tahun lepas.
"Saya harap selepas ini Rasuah Busters, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar yang lain boleh bekerjasama untuk adakan program bersama agar dapat memperkemaskan lagi integriti dalam kalangan pekerja," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, program intervensi berkaitan integriti perlu dipertingkat dan dilaksanakan dengan sekerap mungkin sebagai salah satu usaha pencegahan yang lebih berkesan.
"Program seperti ini sepatutnya dibanyakkan lagi supaya kita dapat kekang ia daripada menjadi lebih buruk dan pada masa sama lihat juga sejauh mana risiko yang wujud pada sesuatu jabatan termasuk KTMB secara amnya.
"Tidak semestinya kita perlu tunggu ada kes rasuah, baru nak ambil tindakan. Saya percaya pengurusan risiko korupsi perlu bergerak seiring yang bukan sahaja untuk elak rasuah tetapi penerapan integriti dalam diri.
"Saya juga harap lebih banyak sektor swasta akan melakukan program seperti ini untuk kita pupuk budaya yang baik dan dapat menjadi sebuah syarikat untuk dicontohi selain memberi impak kepada masyarakat, ekonomi serta sistem sosial negara," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!