Kes bunuh pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris masih misteri

Ruhani (kanan) di samping Wan Abdul Rahman (kiri) menunjukkan gambar arwah Wan Ahmad Faris yang tinggal sebagai kenangan buat mereka. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Ruhani (kanan) di samping Wan Abdul Rahman (kiri) menunjukkan gambar arwah Wan Ahmad Faris yang tinggal sebagai kenangan buat mereka. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

PASIR MAS - Selepas lebih sedekad tragedi, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman terus mendesak siasatan dibuka semula sehingga individu yang bertanggungjawab terhadap kematian tragis pelajar tahfiz itu dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Ibunya, Ruhani Hussin, 70, meluahkan rasa kecewa apabila siasatan pihak berkuasa terhadap kematian anaknya pada 12 Disember 2013 di Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, di sini, masih belum membawa kepada penangkapan suspek atau penemuan motif pembunuhan.

“Kami tidak akan berhenti untuk menuntut keadilan buat arwah.

“Arwah seorang anak yang baik, kuat pegangan agama dan tidak mempunyai masalah murung, apa motif pelaku buat begitu kepada arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Kampung Bayu Lalang, di sini, pada Khamis.

Ruhani dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob,79, sebelum itu menerima kunjungan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan Wan Ahmad Faris, 16, mati akibat dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Koroner Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada 11 saksi, termasuk keluarga, rakan mangsa, polis dan pihak sekolah.

Ruhani juga pesara ketua jururawat itu menyatakan bahawa berdasarkan keterangan yang diberikan, tidak menunjukkan anak anaknya mengambil nyawanya sendiri, sebaliknya kematian disebabkan oleh seseorang yang identitinya belum dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Susulan keputusan itu, keluarga mengambil beberapa langkah bagi menuntut pembukaan semula siasatan terhadap anak sulung daripada dua beradik berkenaan.

Menurut Ruhani, mereka kemudian dimaklumkan melalui surat Polis Diraja Malaysia bertarikh 31 Julai 2024 bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA) sejak 7 September 2020 dengan alasan tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek dan keterangan yang ada hanya berbentuk andaian semata-mata.

Ruhani (tiga dari kanan) menerima kunjungan Nik Elin Zurina (kanan) pada Khamis.
Ruhani (tiga dari kanan) menerima kunjungan Nik Elin Zurina (kanan) pada Khamis.

Mereka seterusnya memohon rayuan kepada Peguam Negara di Putrajaya pada November dan Disember tahun lalu untuk membuka semula kes tersebut.

Selain itu, mereka menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri pada 6 November lalu untuk mendapatkan perhatian kerajaan.

Keluarga juga membuat laporan polis di Balai Polis Kok Lanas pada 18 November 2024 dan memohon penubuhan Pasukan Khas Siasatan bagi memastikan siasatan dilakukan secara lebih telus dan bertanggungjawab.

“Saya tetap reda, habis air mata menangis untuk anak saya, siang malam saya berdoa supaya Allah tunjukkan kebenaran.

“Saya hanya mahu keadilan, saya mahu pembunuh ditangkap dan dihukum,” kata Ruhani dengan sebak.

Pada 12 Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas.

Penemuan oleh penyelia asrama itu selepas menghidu bau busuk dari tandas yang terkunci dari dalam.

Hasil bedah siasat awal mengklasifikasikan kematian sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah.

Namun, keputusan Mahkamah Koroner pada 2016 mengubah perspektif kes dan memberi harapan kepada keluarga untuk mendapatkan keadilan.

Keluarga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menjawab segala persoalan dan merungkai misteri kematian arwah Wan Ahmad Faris, sekali gus menegakkan keadilan yang mereka cari sejak sekian lama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!