Aktivis mahu perjuang semula kes pelajar tahfiz maut disyaki dibunuh

SHAH ALAM - Aktivis dan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Marzuki akan membuka semula kes tragedi melibatkan seorang pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di maahadnya di Kelantan.
Menurut beliau, setakat ini seramai tiga orang peguam berpengalaman dan dua orang bekas Timbalan Pendakwa Raya, bersetuju atau menunjukkan minat untuk turut serta dan membantu.
“Minggu depan saya akan berjumpa dengan barisan peguam muda, mereka akan berjuang bersama #JusticeforWAFaris. Barisan peguam ini tidak akan berhenti sampai keadilan bertegak kembali.
“Bila marhaen ditekan, percayalah akan takdir Tuhan, sang penguasa yang bersekongkol akan mendapat balasan,” katanya menerusi hantaran di Twitter pada Sabtu.
Sebelum ini, selepas lebih sedekad tragedi, keluarga Wan Ahmad Faris terus mendesak siasatan dibuka semula sehingga individu yang bertanggungjawab terhadap kematian tragis pelajar tahfiz itu dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Ibunya, Ruhani Hussin, 70, meluahkan rasa kecewa apabila siasatan pihak berkuasa terhadap kematian anaknya pada 12 Disember 2013 di Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, di Kelantan, masih belum membawa kepada penangkapan suspek atau penemuan motif pembunuhan.
Dalam pada itu, Liyana berkata, selama lebih kurang dua hari beliau telah mendalami dan memahami kes berkenaan serta berjumpa dengan ibu mangsa yang tidak pernah berputus asa walaupun 12 tahun sudah berlalu.
“12 tahun tanpa henti menuntut keadilannya untuk anaknya. Tahun 2013 dia didatangi berita, anaknya yang di tingkatan empat di sebuah sekolah tahfiz terkenal di Kelantan dikhabarkan meninggal.
“Bergegas dia ke hospital, memandang anak lelaki sulungnya yang terbujur kaku, jasadnya sudah membusuk, hati ibu ini luluh. Empat hari arwah meninggal dunia, dijumpai di tandas sekolah tergantung tidak bernyawa.
“Dia kenal anaknya, anak soleh yang bercita2 menjadi doktor. Taat ibu bapa dan baik hati sesama rakan serta saudara, sampai hati mereka bunuh dia?” ujarnya.
Menurutnya, beliau kesal mengenai perkhabaran tandas sekolah tempat jasad Wan Ahmad Faris ditemui dirobohkan, menyebabkan bukti jenayah telah hilang.
Bagaimanapun, Liyani percaya dengan janji ALLAH SWT dan keadilan akan ditegakkan untuk yang dizalimi.
“Setelah lapan tahun bertukar Perdana Menteri, mereka menulis kepada PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akhirnya pada awal tahun ini, barulah dikeluarkan laporan yang diperlukan dan tertulis dengan nyata kematian BUKAN sebab bunuh diri, beliau dibunuh orang tidak dikenal pasti.
“Sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya, pertama kali membaca dan mendengar kes ini daripada keluarga arwah. Firasat saya banyak benda pelik yang terjadi.
“Adakah kerana takut malu dan mengelak skandal lebih besar, mangsa pula dimangsakan. Ditohmah beliau bunuh diri.
"Di mana perjuangan anda untuk keadilan dan semangat ihsani? Untuk tahun 2025, ini niat, tekad saya...saya akan perjuangkan keadilan untuk arwah Wan Ahmad Faris, ibu bapanya.
“Kepada anda yang membaca, doakan kami. Sedekahkan Al-Fatihah kepada saudara Wan Ahmad Faris. Bismillah untuk perjuangan ini... doa kalian kami hargai,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
