Harga lantai belian padi RM1,500 masih bawah kos pesawah - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri, pada Khamis.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Harga lantai belian padi sekurang-kurangnya perlu ditetapkan pada kadar RM1,600 per tan berbanding RM1,500 yang diumumkan kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, harga lantai belian padi yang baharu itu masih berada pada bawah kos input yang terpaksa ditanggung pesawah.

Menurutnya, harga belian terbabit masih tidak seimbang dengan kos yang terpaksa ditanggung petani susulan kenaikan harga input pertanian sejak kebelakangan ini.

"Kadar minimum sepatutnya RM1,600 per tan, harga RM1,500 masih di bawah kos. Kerajaan kena kawal harga input pertanian dan kuatkuasakan harga lebih rendah untuk baja, racun agar pesawah dapat tampung kos keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri di sini, pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, antara faktor yang menyebabkan pesawah tertekan adalah disebabkan kos input pertanian yang meningkat setiap tahun, namun harga lantai belian padi kekal rendah sehingga ada yang mengalami kerugian.

“Kena sepadankan harga lantai dengan harga input pertanian. Kalau harga lantai padi dapat dikawal, kenapa harga input tak dapat dikawal?” soalnya.

Menurutnya lagi, sebelum ini kebanyakan pesawah mengharapkan agar harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan seperti dituntut mereka bagi menampung kos input pertanian.

"Kerajaan kena usaha kurangkan kos, boleh bagi subsidi diesel, racun dan baja. Kalau masih bawah RM1,800 per tan, input pertanian kena murah baru balik modal. Masalahnya kos meningkat harga lantai tak meningkat.

"Kos input pertanian tinggi, harga lantai rendah, sebab itu orang bising. Kalau pesawah boleh cari makan, mereka tak akan bising. Harapan orang tinggi sampai nak tuai padi, tunggu harga dulu baru nak tuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, ketidakseimbangan harga lantai belian padi dan input pertanian sekiranya tidak dikawal kelak menjejaskan proses penanaman.

“Kita tak mahu isu berkenaan jejas jadual penanaman padi, bila ada yang tak kerat padi tak boleh lepas air. Habis berselerak. Jika diberikan RM1,800 mungkin pesawah lebih semangat,” ujarnya.

Pada Khamis, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan berbanding RM1,300 per tan sebelum ini berkuat kuasa 16 Februari depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohmad Sabu turut mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!