Rafflesia 'merajuk', tidak berbunga selamanya jika habitat dirosakkan

HULU TERENGGANU - Spesies bunga terbesar di dunia, pakma atau popular dengan nama rafflesia tidak akan mengeluarkan bunga selamanya jika bahagian tumbuhan tersebut diambil atau habitatnya dirosakkan.
Orang Asli (OA) Kampung Sungai Berua, Ishak Samad, 42, berkata, tumbuhan itu memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan ia mengeluarkan bunga sepanjang tahun.
Menurutnya, kaedah salah digunakan ketika mengendalikan spesies tersebut berisiko menyebabkan ia 'merajuk', tidak akan membiak sekali gus berdepan ancaman kepupusan.
"Pernah berlaku sebelum ini, terdapat bahagian bunga ini diambil untuk tujuan kajian dan seumpamanya, menyebabkan ia terus 'merajuk' dan tidak lagi mengeluarkan bunga.
"Selain itu, aktiviti pembalakan, pembukaan hutan, perubahan cuaca dan serangan haiwan liar turut mengancam bunga ini daripada terus hidup," katanya ketika ditemui pemberita di kawasan habitat tumbuhan itu, di sini pada Khamis.
Jelas Ishak, buat masa ini terdapat sembilan tunas yang telah dikenal pasti sejak seminggu lalu di lokasi yang tidak didedahkan itu dan ia akan berkembang mengikut giliran dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Ishak yang merupakan OA suku Semaq Beri berkata, komuniti kampung berkenaan turut meluahkan rasa bimbang terhadap aktiviti pembalakan yang dikhuatiri akan memusnahkan habitat bunga terbesar dunia itu.

Katanya, sebelum ini, terdapat aktiviti pembalakan di kawasan itu dikesan dan telah mengakibatkan kerosakan habitat semulajadi bunga tersebut.
"Kalau kegiatan seperti ini tidak dibendung atau dikawal, tidak mustahil generasi akan datang sudah tidak boleh lagi melihat kewujudan bunga ini.
"Bunga rafflesia juga boleh diangkat menjadi antara produk pelancongan negeri sekali gus dapat dimanfaatkan oleh masyarakat (OA) di sini.
"Sebab itu lah besar harapan kami untuk melihat kawasan-kawasan yang terdapat bunga ini dipelihara untuk memastikan ia selamat daripada sebarang bentuk ancaman," ujarnya.
Berdasarkan perkongsian pakar, bunga rafflesia hanya boleh hidup jika terdapat perumahnya iaitu sejenis tumbuhan menjalar di dalam hutan digelar Tetrastigma atau anggur liar.
Bunga ini amat unik kerana terdapat bahagian bunga sahaja, (tidak mempunyai batang, akar dan daun) serta mempunyai jasad 'vegetatif' berbentuk seperti hifa kulat, hidup dalam tisu perumah.
Bunga tersebut berkembang antara enam hingga lapan hari, jika proses pendebungaan berjaya, bunga betina itu akan membentuk buah yang mempunyai berjuta-juta biji benih yang akan disebarkan oleh haiwan dan serangga ke perumah lain untuk mengekalkan populasinya.
Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pada Januari 2023 dilaporkan akan mewartakan sebahagian Hutan Simpan Tembat, Jenagor, di sini dalam usaha memelihara tumbuhan tersebut.
Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja berkaitan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membolehkan kajian dan penelitian dijalankan.
Beliau berkata, langkah pewartaan dijangka dapat dilaksanakan mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!