Wajarkah harga lantai belian padi, beras tempatan dinaikkan?

KEBELAKANGAN ini, isu harga lantai belian padi dan harga beras tempatan hangat diperkatakan.
Harga lantai belian padi memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan pesawah dan kestabilan industri pertanian.
Bukan itu sahaja, cadangan untuk menaikkan harga beras tempatan pula bertujuan untuk memastikan pesawah memperoleh pendapatan yang lebih adil sejajar dengan peningkatan kos pengeluaran.
Kerajaan Terengganu sebelum ini menggesa supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang padi bumiputera yang bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian sejak beberapa tahun ini.
Susulan itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada hari ini mengenai isu beras, khususnya berhubung harga lantai belian padi.
Isu tersebut menjadi perdebatan dalam kalangan rakyat, ada yang menyokong dan sebaliknya, masing-masing mempunyai hujah tersendiri.
SETUJU
Pemberian royalti sebagai alternatif
Saya bersetuju jika kerajaan menaikkan harga beras untuk membantu para petani, tetapi sekiranya kerajaan tidak mahu, mereka perlu memberikan royalti kepada pesawah sebagai satu penghargaan terhadap usaha golongan itu.
Sejak tahun 2018, harga beras di Malaysia masih kekal pada kadar yang sama, sedangkan pelbagai kos lain seperti tarif elektrik, minyak dan diesel terus meningkat.
Hal ini menyebabkan pesawah terpaksa menanggung beban kos yang semakin tinggi.
Keadaan ini semakin membebankan apabila harga belian padi benih di pintu kilang meningkat daripada RM28 kepada RM55, iaitu kenaikan sebanyak 100 peratus.
Oleh itu, kerajaan perlu menilai semula pendapatan pesawah agar mereka tidak terus berada dalam kategori miskin tegar.
Industri padi perlu menarik golongan muda untuk memastikan kelangsungan sektor ini.
Sekiranya pendapatan pesawah dapat ditingkatkan melalui kenaikan harga padi, lebih ramai generasi muda mungkin berminat untuk meneruskan legasi dalam bidang ini.
- Muhamad Rafirdaus Abu Bakar, 48, Bendahari Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
Galakkan kelangsungan industri padi
Saya berpendapat bahawa kenaikan harga beras dapat membantu pesawah meneruskan usaha mereka tanpa menghadapi tekanan kewangan yang berlebihan.
Pada masa ini, ramai pesawah mengeluh kerana hasil yang diperoleh tidak setimpal dengan usaha serta peningkatan kos pengeluaran.
Jika harga padi lebih tinggi, sekurang-kurangnya mereka akan lebih bersemangat untuk terus mengusahakan sawah, sekali gus mengelakkan mereka daripada beralih ke bidang lain.
Bukan itu sahaja, saya juga dapat merasakan kebergantungan kepada beras import juga boleh memberi risiko kepada kestabilan bekalan makanan negara.
Selain itu, pendapatan yang lebih baik berpotensi menarik minat golongan muda untuk menceburi industri ini, sekali gus memastikan kelangsungan dalam jangka panjang.
Tanpa sokongan yang mencukupi, hasil pengeluaran tempatan akan terus merosot menyebabkan harga beras menjadi lebih tinggi.
Oleh itu, menaikkan harga beras adalah langkah yang wajar bagi memastikan industri padi tempatan terus berkembang dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
- Mohamad Nur Idham Pentaris, 27, Eksekutif Pemasaran Digital
BANGKANG
Membebankan pengguna
Saya berpandangan, kenaikan harga beras akan memberi kesan besar kepada masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup.
Beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, jadi jika harganya meningkat, perbelanjaan harian juga akan bertambah, menyebabkan isi rumah perlu berjimat contohnya untuk pendidikan dan kesihatan.
Saya merasakan harga beras semasa tidak mempengaruhi keuntungan pesawah secara langsung.
Keuntungan mereka lebih bergantung kepada tindakan badan bertanggungjawab atau kerajaan dalam menyediakan bantuan seperti subsidi dan insentif.
Walaupun pesawah telah menerima pelbagai bentuk sokongan, pihak berkenaan perlu mengambil langkah yang lebih berkesan bagi meningkatkan pendapatan mereka tanpa membebankan pengguna.
Selain itu, kenaikan harga beras juga memberi kesan kepada peniaga kecil seperti warung dan restoran untuk menetapkan harga makanan.
Oleh itu, menaikkan harga beras bukanlah penyelesaian terbaik kerana harga beras dan keuntungan pesawah adalah dua perkara berbeza.
Sebenarnya, lebih penting lagi adalah memastikan pesawah mendapat sokongan mencukupi tanpa menambah beban rakyat.
- Siti Nurjannah Wahak, 27, Suri rumah
Tingkat inflasi, kebergantungan beras import
Bagi saya, kenaikan harga beras boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, terutamanya dengan menyumbang kepada peningkatan inflasi.
Apabila harga beras meningkat, kos makanan lain juga berpotensi meningkat kerana beras merupakan bahan asas dalam banyak produk makanan.
Keadaan ini akan menyebabkan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah berdepan dengan tekanan kewangan yang lebih tinggi.
Jika inflasi terus meningkat, kuasa beli rakyat akan semakin berkurang dan secara tidak langsung boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
Selain itu, saya juga berpendapat bahawa harga beras tempatan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan pengguna beralih kepada beras import yang lebih murah.
Jika ini berlaku, permintaan terhadap beras tempatan akan menurun, seterusnya merugikan pesawah dan industri padi negara.
Saya juga dapat merasakan, dalam jangka panjang juga, kebergantungan kepada beras import boleh menjadi satu risiko kerana bekalan dari luar negara tidak sentiasa terjamin.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa menaikkan harga beras bukanlah penyelesaian terbaik kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi serta industri pertanian tempatan.
- Ain Najihah Borhan, 24, Pekerja Swasta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
