Kes penipuan pelaburan meningkat di Negeri Sembilan, pesara ramai jadi mangsa

SEREMBAN - Kes penipuan pelaburan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang mendadak apabila merekodkan 44 kes sepanjang bulan lalu dengan jumlah kerugian RM4.16 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, penganggur dan bekerja sendiri.
"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati apabila memilih membuat pelaburan terutama yang melibatkan pelaburan dalam talian pembayaran ke akaun individu dan juga menjanjikan pulangan yang tinggi.
"Sila semak dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti bagi mengesahkan kesahihan sesebuah syarikat yang menawarkan pelaburan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 389 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM22.8 juta.
Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,648 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai jenis kesalahan jenayah komersil dan 1,103 daripadanya telah dirujuk ke pejabat pendakwaraya untuk mendapat arahan pertuduhan.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 8,734 laporan polis diterima berbanding tahun 2023 sebanyak 7,927 laporan.
"Walaupun terdapat pengurangan jumlah kertas siasatan sebanyak 339 kes, namun jumlah kerugian meningkat sebanyak RM50 juta bagi tahun lalu berbanding tahun 2023 iaitu RM44 juta," katanya.
Secara keseluruhan kata Ahmad Dzaffir, penipuan dalam telefon dengan menyamar sebagai penguatkuasa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kastam dan pegawai bank merekodkan 180 kes dengan jumlah kerugian RM9.5juta.
Katanya, tipu tawaran pekerjaan yang melibatkan platform media sosial pula sebanyak 326 kes melibatkan kerugian berjumlah RM6.08 juta.
"Tipu belian barang dalam talian sebanyak 659 kes melibatkan kerugian hampir RM4.4 juta dan tipu pinjaman tidak wujud pula sebanyak 357 kes berjumlah RM3.2juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!