Aminuddin puas hati prestasi Exco Negeri Sembilan

Aminuddin berpuas hati dengan prestasi 10 barisan Exco ketika ini.
Aminuddin berpuas hati dengan prestasi 10 barisan Exco ketika ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tiada perancangan membuat rombakan barisan Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) seperti mana dilakukan beberapa negeri lain sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi 10 barisan Exco ketika ini.

"Kita nampak oklah. Cuma ada satu dua Exco baharu. Tapi bagi saya, semua faham tentang tanggungjawab.

"Mungkin tahun pertama itu ada kekurangan sedikit. Tapi dah masuk tahun kedua ini, saya nampak banyak peningkatan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Jelas beliau, sekiranya ada kekurangan pada Exco tersebut, tidak semestinya perlu ditukar, sebaliknya diberi ruang untuk mereka menambah baik.

Tambahnya, beliau sendiri melihat perkembangan setiap Exco dan akan memberi teguran secara terus sekiranya ada tidak berpuas hati.

"Kalau kita tukar selalu pun, Exco itu tak boleh merancang. Jadi, saya rasa biar dia teruskan. Cuma teguran-teguran itu, saya sampaikan juga.

"Kadang-kadang program itu saya tegur secara terus dan nampak tambah baik itu ada. Tak semestinya kita terus tukar. Terpulanglah... itu pentadbiran masing-masing," katanya.

Aminuddin berkata, setiap program yang dianjurkan oleh Exco turut dijadikan sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia sekali gus bagi memastikan setiap satu sen duit rakyat dapat dibelanjakan dengan sebaiknya.

Sementara itu, Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Menteri Besar sememangnya telah menggariskan beberapa KPI yang harus diikuti oleh semua Exco.

Untuk rekod, 10 Exco Negeri Sembilan dilantik pada 24 Ogos 2023 dan daripada jumlah tersebut, empat daripada Barisan Nasional, empat DAP dan dua Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!